Selepas kurangkan jenayah, masa untuk polis berbaik dengan masyarakat

zahid-polisKUALA LUMPUR: Selepas berjaya menurunkan kadar jenayah, langkah ke hadapan bagi polis adalah lebih giat berhubungan dengan masyarakat agar persepsi terhadap keselamatan dapat diperbaiki, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri itu berkata masih ramai rakyat berpandangan negatif walaupun tahap perkhidmatan polis bertambah baik.

Semenjak bermulanya program transformasi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2009, kadar jenayah menurun dengan banyak dengan kadar tertinggi pada 2013 – 2017 iaitu sebanyak 47%.

“PDRM diiktiraf sebagai pasukan polis terbaik di Asean…kadar ‘recidivism’ (banduan yang kembali melakukan jenayah) pula hanya 0.6%, berbanding penjara California dengan kadar 65%.

“Tetapi tiada penghargaan dilakukan, tiada persepsi positif. Kenapa? Kurangnya hubungan (engagement),” katanya pada forum “Addressing Perception on Safety and Security” di ibu negara hari ini.

Pada Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan pembersihan besar-besaran dalam badan penguatkuasa termasuk polis, antaranya ekoran sejumlah pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana didakwa melindungi sindiket pengedaran dadah.

Forum membincangkan hakikat bahawa persepsi terhadap keselamatan tidak bertambah baik walaupun jenayah sudah berkurangan, dan bagaimana polis dapat meningkatkan imej dalam kalangan masyarakat.

Forum turut menampilkan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri dan bekas pegawai tinggi polis.

Zahid berkata statistik sahaja tidak memadai selagi persepsi masyarakat terhadap polis tidak diperbaiki, kerana persepsi turut menyumbang kepada perasaan selamat.

“Kita perlu wujudkan perasaan selamat di kalangan masyarakat. Ia akan jadi fokus jika saya kekal sebagai menteri dalam negeri,” katanya.

Bagi Naib Presiden Eksekutif Pemandu Datuk Dr Amin Khan, pengurangan kadar jenayah sahaja tidak semestinya mengurangkan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, berita dan rakaman video yang mudah tersebar meluas di media sosial lebih senang mendapat perhatian ramai, seterusnya menimbulkan persepsi jenayah kerap berlaku.

“Menambahbaik hubungan antara polis dan masyarakat adalah amat penting untuk mengurangkan rasa takut,” katanya.

Bekas pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti polis Datuk Seri Ayub Yaakob mencadangkan polis harus lebih giat mengenali masyarakat di kawasan masing-masing.

“Polis yang meronda misalnya boleh berhenti (ketika rondaan) dan berbual dengan guru dan ibubapa pelajar…Kita juga perlu mengenali polis di kawasan sendiri.

“Perlu ingat, polis adalah milik masyarakat, sama ada baik atau tidak. Anda sebenarnya ‘pemilik’ pasukan polis,” katanya lagi.