Tan Sri, anak didakwa buat tuntutan palsu RM13 juta

S-Balakrishnan-sprmPETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan anaknya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu hampir RM13 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkaitan projek pemuliharaan Sungai Melaka, antara 2012 dan 2013.

Tan Sri S Balakrishnan, 63, dan anaknya, B Ashok Kumar, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Allaudeen Ismail dan Azura Alwi di mahkamah berasingan.

SPRM menerusi kenyataan hari ini berkata, Balakrishnan yang merupakan pengarah dan pemegang saham Sinnayah & Sons Sdn Bhd didakwa mengemukakan tuntutan palsu pembekalan 358 unit “dewatering container” bernilai hampir RM13 juta, sedangkan hanya 89 unit produk itu dengan kos kira-kira RM3.2 juta dibekalkan.

Ashok selaku pengarah projek Sinnayah & Sons Sdn Bhd pula didakwa bersubahat dengan bapanya untuk melakukan kesalahan itu.

Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Projek Khas Ibu Pejabat JPS, Kuala Lumpur antara 27 April 2012 hingga 23 Oktober 2013.

Balakrishnan menghadapi 1 dakwaan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, sementara Ashok berdepan 1 pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang dibacakan bersama Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim membenarkan 2 beranak itu masing-masing diikat jamin RM500,000 bersama 2 penjamin dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes itu ditetapkan 28 Ogos ini.

Tuntutan resit palsu: ‘Tan Sri’ dan 3 lagi dibebas hari ini