Warisan mahu lembaga getah Sabah jelaskan keuntungan RM100 juta

Junz-Wong-Yahya-Hussin2Parti Warisan Sabah urges Sabah Rubber Industry Board not to be profit oriented to the detriment of rubber smallholders.

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyeru Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Yahya Hussni menjelaskan bagaimana Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) mendapat keuntungan lebih RM100 juta pada 2016.

Dalam ucapannya yang dibacarakan Pembantu Menteri Datuk Sairin Karno di majlis makan malam LIGS minggu lepas, Yahya menyifatkan ia sebagai suatu pencapaian bagi sebuah agensi kerajaan yang berperanan utama sebagai pemudah cara untuk membantu penoreh getah meningkatkan pendapatan.

Naib Presiden Warisan Junz Wong dalam kenyataan hari ini berkata pengumuman Yahya memberi gambaran LIGS tidak membayar harga yang berpatutan kepada pekebun kecil getah yang miskin.

“Saya mencabar Yahya dan LIGS untuk memberitahu orang ramai bagaimana LIGS merumuskan nilai harga ladang bahan mentah getah seperti getah keping tidak diasap dan kentalan?

“Bagaimanakah LIGS menentukan Kandungan Getah Kering (DRC) bahan mentah getah ini dan menentukan harga setiap gred getah, seperti Kepingan Gred 1 dan 2 dan juga Kentalan Gred 1 dan 2?

Menurut Wong, pekebun kecil getah di Sabah menghasilkan getah mengikut spesifikasi LIGS dan akan dibayar harga yang ditetapkan lembaga itu, sementara di Malaysia Barat, pekebun kecil getah menjual hasil dalam bentuk kentalan yang setiap hari, di mana DRC ditetapkan pada 50%.

Kedua-dua pengiraan berdasarkan kepada harga pasaran antarabangsa untuk gred Getah Bermutu Tinggi Malaysia 20 (SMR20), katanya.

“Oleh itu sangat penting bagi LIGS untuk menjelaskan kepada penoreh getah di Sabah bagaimana peratus DRC bagi bahan mentah getah ditentukan supaya penoreh getah Sabah dapat menilai sama ada harga LIGS adalah adil.

“Sebagai contoh, apakah peratusan DRC yang ditentukan untuk kepingan yang kurang daripada 0.5 inci tebal dan dikeringkan dengan udara selama 7 hingga 10 hari mengikut spesifikasi LIGS? Bagaimana LIGS menetukan DRC untuk bahan-bahan seperti spesifikasi ini?”

Wong mengingatkan menteri bahawa LIGS sebagai agensi kerajaan bertanggungjawab untuk mempermudah dan memperkasa pekebun kecil getah, yang menyumbang hampir 90% daripada jumlah getah yang dihasilkan di Sabah, dengan program, dana dan menyediakan harga yang terbaik untuk hasil para penoreh.

“Sejak bila LIGS menjadi sebuah agensi yang berorientasikan keuntungan?” soal Wong.

“Jika keuntungan RM100 juta ini tidak terhasil dari para penoreh getah di Sabah, dari mana ianya datang?”