Ketua polis anggap insiden PWTC ‘memalukan’, 11 dipanggil

khalid-abu-bakar-pemuda-umno-pwtcKUALA LUMPUR: Polis sudah menyoal 11 orang berhubung kekecohan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Selasa lalu melibatkan Pemuda PPBM dan Umno.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam masa sama berkata insiden itu sesuatu yang memalukan.

“Kita ini orang dewasa, bukan budak-budak lagi. Kita perlu menunjukkan kedewasaan kita.

“Terlibat dengan perkara-perkara macam itu memalukanlah,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di sini hari ini.

Selalu lalu, sekumpulan 30 Pemuda PPBM yang membawa jemputan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk mengadiri forum “Nothing To Hide 2.0” dihalang lebih 100 ahli Pemuda Umno.

Sementara itu, Khalid berkata khidmat membuat laporan polis atas talian, atau e-Reporting, buat masa melibatkan kes bukan jenayah seperti kehilangan dokumen.

Menurutnya, kemudahan itu kini melibatkan semua balai polis di Lembah Klang.

“Untuk kes-kes yang lain yang melibatkan jenayah dan juga kes trafik, kita tidak dapat laksanakan lagi e-Reporting ini kerana implikasi undang-undang.

“Jadi kita memohon pihak peguam negara untuk mengkajinya sebelum boleh kita laksanakan membuat laporan polis secara online (atas talian) ini,” katanya.