Nama bapa anak luar nikah: Bebas gesa JPN akur keputusan mahkamah

bayi-bebasPETALING JAYA: Sebuah kumpulan hak asasi berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mesti akur keputusan mahkamah hari ini yang memutuskan anak luar nikah boleh menggunakan nama bapa sebenar dalam dokumen rasmi.

Dalam kenyataan hari ini, Bebas menggesa JPN tidak merayu kes itu ke Mahkamah Persekutuan tetapi membenarkan semua kanak-kanak Islam menggunakan nama bapa sebenar dalam dokumen rasmi.

Bebas berkata kanak-kanak yang dikenakan nama bapa “bin/binti Abdullah” atas sebab tidak sah taraf sebelum keputusan hari ini juga perlu dibenarkan menukar nama mereka selaras dengan keputusan mahkamah.

“JPN mesti menghentikan atau memadamkan Pekeliling JPN 8/2009 mengenai prosedur pendaftaran kelahiran anak tak sah taraf untuk pasangan Islam yang menyatakan anak itu hanya boleh menggunakan nama bapa ‘bin/binti Abdullah’,” tambahnya.

Awal hari ini, Mahkamah Rayuan berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila ia mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa anaknya.

Dalam keputusan bertulis 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada ibu bapa anak itu, mahkamah mempertikaikan amalan mengenakan “bin Abdullah” pada anak luar nikah.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim itu, berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.

Kanak-kanak itu, dilahirkan pada 17 April 2010, iaitu kurang 3 hari sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit, diberi nama bapa “Abdullah” berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003.

JPN menolak permintaan ibu bapa untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran, berdasarkan fatwa 1981.

Menurut fatwa 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh dinasabkan kepada bapa anak tersebut atau kepada orang yang mengaku sebagai bapa kepada anak itu.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata ia bercanggah dengan Seksyen 13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah untuk menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.

Bebas berkata JPN tidak perlu menyerahkan kuasanya kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, jabatan agama atau mahkamah syariah.

“Tugas JPN ialah antara lain sebagai pendaftar kelahiran, kematian, kewarganegaraan, perkahwinan, perceraian dan status agama.

“Pengawasan moral bukan dalam fungsi mereka,” katanya.

Menekan tanggungjawab jabatan kerajaan mengangkat Perlembagaan Persekutuan dan memberi layanan sama rata kepada semua rakyat mengikut undang-undang, Bebas berkata arahan dan pekeliling kerajaan mesti berdasarkan undang-undang sivil, dan bukan fatwa yang tidak melalui proses legislatif di Parlimen.

“Jika tidak, ia akan melanggar demokrasi kita. Undang-undang sivil mestilah menjadi rujukan pertama untuk sebarang keputusan kerajaan, “katanya.