Pakatan Harapan umum barisan kepimpinan Pulau Pinang

pakatan-harapan2GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengumumkan barisan kepimpinannya hari ini, menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai pengerusi negeri.

Empat pemimpin dinamakan sebagai naib pengerusi: Mansor Othman (PKR), Chow Kon Yeow (DAP), Mujahid Yusof (Amanah) dan Marzuki Yahya (PPBM).

Chow juga ditugaskan untuk memimpin jawatankuasa manifesto PH negeri, manakala Mustafa Kamal Mohd Yusoff (PKR) dijadikan pengarah jentera pilihan raya negeri. Mustafa, bekas senator, memegang jawatan yang sama dalam partinya.

Jawatan itu disahkan majlis presiden PH kebangsaan pada 13 Julai.

“Ini hanya permulaan. Dengan PH negeri yang dibentuk, kami akan mendaftar 1 logo yang mudah dikenali. Ini akan mengukuhkan DAP, PKR, Amanah dan PPBM.

“Dari sekarang hingga konvensyen PH negara pada 24 September, kami akan memulakan perbincangan mengenai peruntukan kerusi dan mengenal pasti yang terbaik untuk memimpin pelbagai biro yang akan dibentuk pada masa akan datang.

“Kami menawarkan diri sebagai harapan kepada rakyat dan negara. Dari Pulau Pinang, kami akan membuat perjalanan ke Putrajaya dan mengekalkan Pulau Pinang di bawah pemerintahan PH,” kata Chow pada sidang akhbar hari ini.pakatan-harapan1

PH mengumumkan akan mengadakan konvensyen sulung pada 24 September di Arena Seberang Perai, Perai.

Pemimpin lain dalam barisan itu Lim Siew Khim dari DAP yang diumumkan sebagai ketua Wanita PH.

Adun Air Itam Wong Hon Wai dinamakan setiausaha PH negeri, manakala rakan sepasukan dan exco Jagdeep Singh Deo dijadikan bendahari.

Dr Afif Bahardin dari PKR, yang merupakan exco kesihatan negeri, dilantik sebagai ketua maklumat. Beliau juga memegang jawatan ketua Pemuda PH negeri.

Lim, dalam ucapan pembukaannya, mengumumkan peristiwa bersejarah itu.

Beliau berkata penyertaan 4 parti di peringkat negeri peluang yang baik bagi mereka untuk “mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik” terutama dari PPBM.

“Kita semua tahu siapa rakan kita dari PPBM. Kami kenali mereka sebelum mereka dari pihak lain.

“Itu adalah ketika kita bertentang satu sama lain tetapi mengekalkan hubungan persahabatan.

“Kini sejak kita berkawan, ia akan menjadi peluang untuk kita menjadi kawan yang lebih baik,” kata Lim.

Mansor, yang merupakan ketua PKR negeri, berkata pembentukan PH di peringkat kebangsaan, dan kini di Pulau Pinang, memberikan BN “malam tanpa tidur”.

“Mereka berusaha keras untuk melagakan kami satu sama lain, parti sesama parti, dan pihak yang menentang kerajaan negeri.

“Mereka tidak pernah jangka kami membentuk PH, secara nasional atau di peringkat negeri.

“Tetapi dengan pembentukan PH peringkat negeri, saya yakin kita boleh membuat langkah yang besar ke Putrajaya,” katanya.

Mujahid, yang juga ketua Amanah Pulau Pinang, berkata PH mengumpulkan yang terbaik dari semua parti.

“Bekas timbalan ketua negeri kita dari Umno, Datuk Seri Shariff Omar yang menyertai PPBM bersama kami ada pada hari ini,” katanya sambil menambah perkara itu tidak dapat dibayangkan sebelum ini.