Pegawai khas PM pertahan Arab Saudi selepas kecaman Zaid

Fathul-Bari-Mat-Jahaya-zaid-ibrahim-arabPETALING JAYA: Seorang pegawai khas di Pejabat Penasihat Perdana Menteri hari ini mempersoalkan kenyataan Datuk Zaid Ibrahim yang mengaitkan fahaman esktremis agama dengan Arab Saudi, dengan berkata negara itu menjalankan pelbagai usaha membanteras keganasan.

“Dia tahu ke apa idea yang dibuat Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Arab Saudi Mohammed Salman untuk memerangi bentuk pemikiran ekstremisme?” soal Datuk Fathul Bari Mat Jahaya yang juga exco Pemuda Umno.

Menurutnya, Arab Saudi mempunyai universiti dan pusat khas yang menumpukan kajian soal keselamatan dan keganasan seperti Mohammed Bin Naif Center dan Naif Arab University serta institut menangani pemikiran ekstrem di bawah seliaan Putera Muhammad Bin Salman.

Beliau mempersoalkan mengapa Zaid tidak membantah hubungan mesra Malaysia dengan negara bukan Islam seperti di Eropah.

“Kita juga ada hubungan dengan Amerika Syarikat, kita juga ada hubungan dengan negara di Eropah. Kenapa anda tak bising tentang hubungan negara-negara di Eropah? Tapi anda bising hubungan dengan Arab Saudi.

“Anda sendiri tutup minda anda, anda tak mahu terima pandangan atau perkembangan hubungan yang baik dengan negara-negara Islam,” katanya.

Zaid hari ini menyelar golongan yang menurutnya berpaksikan fahaman Islam ala Taliban dan Arab Saudi, yang disifatkannya sebagai ancaman terhadap budaya Melayu dan amalan tempatan.

Menurut Zaid, raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan kebudayaan orang Melayu daripada digantikan dengan “amalan purba Badwi”.

“Sudah tentu Sultan tidak akan melihat sahaja penghapusan budaya Melayu dan karakter kaum mereka sendiri semata-mata kerana ada segelintir Taliban berkuasa yang mendakwa melaksanakan ‘undang-undang Tuhan'” kata Zaid dalam catatan blognya.

Bagaimanapun, Fathul mempersoalkan sama ada Zaid sendiri mengamalkan budaya Melayu.

“Kita berpaksikan apa sebelum ini?” soalnya ketika dihubungi FMT.

“Cara hidup anda, cara pemikiran, bentuk pakaian bukan membawa budaya Melayu, malah budaya Malaysia pun, tetapi cara hidup barat,” katanya.

Fathul berkata hubungan mesra dengan Arab Saudi tidak bererti Malaysia akan menuruti semua amalan di negara itu, dan ia menjamin kepentingan Malaysia dalam soal jemaah haji dan pelaburan industri petroleum.

Menurutnya, beliau sendiri tidak setuju sekiranya semua amalan Arab Saudi ditiru negara ini.

“Bukannya kita nak ambil ke semua benda masuk,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/07/27/zaid-hapuskan-puak-taliban-wahabi-jamin-masa-depan-raja-melayu/