PropertyGuru: Tetapkan kadar harga bagi rumah mampu milik

property-guru-sheldon-1

KUALA LUMPUR: Laman hartanah PropertyGuru Malaysia mencadangkan agar julat harga “rumah mampu milik” ditetapkan pada kadar tetap.

Pengurus PropertyGuru Malaysia Sheldon Fernandez berkata, setakat ini tiada harga tetap bagi mengklasifikasikan sesebuah rumah sebagai “mampu milik”, dan ada keperluan mendesak untuk penetapan itu.

“Secara amnya ia bermakna rumah yang berharga antara RM300,000 hingga RM500,000.

“Namun mereka yang berada dalam kumpulan pendapatan rendah B40 tidak akan mampu dengan harga seumpama itu,” katanya.

Kumpulan B40 merujuk kepada pendapatan isi rumah 40% terbawah dengan pendapatan sebulan RM3,900 – RM8,3000.

Sheldon berkata, badan kawal selia bagi menyelesaikan isu rumah mampu milik seperti yang diumumkan kerajaan 2 hari lalu perlu dianggotai mereka yang berkemampuan untuk berhubung dengan pemaju dan pengguna.

Ia akan membantu menangani isu-isu utama dalam pasaran hartanah, katanya lagi.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata antara peranan badan itu untuk menyelesaikan jurang antara permintaan dan bekalan rumah mampu milik.

Beliau berkata wujud banyak kerumitan dalam pembinaan rumah mampu milik pada waktu ini.

Sheldon berkata, projek MRT yang mula beroperasi minggu lalu akan memacu pasaran hartanah.

Kawasan perumahan di sepanjang landasan sepanjang 51km dari Sungai Buloh ke Kajang itu turut dilengkapi 300 bas penghantar bagi kemudahan pengguna sekitar.

Sheldon berkata kesalinghubungan dan kemudahan untuk bergerak (mobiliti) ciri utama bagi kemajuan industri hartanah.

“Kita boleh mula melihat pembangunan tertumpu berlaku jauh daripada pusat bandar.”

Bulan lalu, PropertyGuru menyuarakan kepentingan untuk menyelaraskan program perumahan mampu milik di bawah sebuah pengurusan yang berkesan.