Syed Saddiq pertahan Siti Nurhaliza, Armand tak perlu dabik dada

Syed-Saddiq-Syed-Abdul-Rahman-siti-nurhalizaPETALING JAYA: Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mencelah pertelingkahan antara seorang pemimpin utama Pemuda Umno dengan selebriti tempatan, dengan menyeru Pemuda Umno tidak perlu mendabik dada dan mempertikaikan sumbangan orang lain kepada rakyat Palestin.

Beliau berkata Exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah jangan bongkak disebabkan sumbangan peranan orang lain tidak sebesar mereka.

“Kalau ahli politik tidak ingin rakyat biadab, ahli politik perlu beradab!” kata Syed Saddiq dalam kenyataan hari ini, selepas media melaporkan percakaran antara pemimpin Pemuda Umno itu dengan penyanyi nombor 1 negara Siti Nurhaliza di laman instagram bekas penyanyi nasyid Yasin Sulaiman.

“Saya tahu Pemuda Umno pernah ke sana dan saya berbangga dengan Pemuda UMNO yang terlibat dengan misi kemanusiaan ke Palestin dan tahniah untuk itu…Janganlah disebabkan peranan yang dimainkan oleh orang lain tidak sebesar kita, kita mempersoalkan pula sumbangan mereka…Janganlah kerana politik kita lupa diri.”

Armand hari ini berkata Siti perlu bertanya bila suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, akan ke Palestin dan membantu rakyat di sana, selepas penyanyi itu menegur pertembungan antara Pemuda Umno dan Pemuda PPBM di Sunway Putra Mall di ibu negara, 25 Julai lepas.

Kekecohan, tolak-menolak dan dakwaan tumbuk-menumbuk timbul selepas 200 Pemuda Umno cuba menghalang Pemuda PPBM menyerahkan undangan rasmi mempelawa Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak ke forum terus-terang “Nothing to Hide 2.0”.

“Yang kuat gaduh tu patut hantaq pi Palestine baguih,” kata Siti di instagram Yasin, yang memuatnaik gambar kekecohan itu pada hari yang sama.

“Buku bertemu ruas. Dada pun kembang. Mari bertenang,” kata penyanyi nasyid itu dalam catatannya.

Armand bagaimanapun mengingatkan Siti yang Pemuda Umno sudah beberapa kali menyertai misi menghulur bantuan ke Palestin.

“Cuba tanya bila Datuk K hendak ke Gaza Palestin?” kata soalnya di Facebook, lapor Astro Awani. Beliau turut memuat naik video dan gambar menunjukkan bukti Pemuda Umno menyertai misi di Palestin.

“Saya tak tahu kenapa Datuk Armand sangat defensif dengan teguran Datuk Siti. Teguran itu ditujukan kepada kedua dua belah pihak, bukan sahaja pada Umno. Kenapa cepat terasa?” kata Syed Saddiq.

Ketua pemuda PPBM itu pula mengingatkan Armand yang Siti dan suami juga ada peranan membantu NGO seperti misi kemanusiaan ke Yaman dan kempen kesedaran orang ramai melalui Hope Campaign. Menurutnya lagi, Siti dan suami pernah menziarahi Masjid al-Aqsa di Palestin tahun lepas.

“Jika Pemuda PPBM mempunyai kapasiti dan juga kemampuan, kami pasti akan pergi ke sana pada satu hari nanti untuk mempertahankan hak saudara kita di sana, tapi pada saat ini kami hanya mampu untuk membela saudara kita di Malaysia yang ditindas oleh pemimpin-pemimpin yang gilakan kuasa,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/25/pemuda-umno-halang-ppbm-serah-jemputan-khas-kepada-najib/