Tiada wakil BN di sidang meja bulat sokong Malanjum diangkat ketua hakim negara

Julian-Tan-Richard-Malanjum2KUALA LUMPUR: Sidang meja bulat Parlimen semalam untuk menyokong pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara yang baharu menyaksikan kesemua ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) tidak hadir.

Ahli Parlimen Stampin dari DAP, Julian Tan, berkata sebanyak 46 wakil rakyat BN – 21 di Sabah dan 25 di Sarawak – dijemput ke mesyuarat itu yang bertujuan mengangkat agenda kedua-dua negeri itu.

“Ini menunjukkan wakil rakyat BN dari Sabah dan Sarawak tidak menganggap isu membabitkan negeri mereka adalah serius.

“Sekiranya mereka serius, mereka akan sekurang-kurangnya hadir dan berbincang,” kata Tan.

Keputusan Putrajaya melanjutkan tempoh Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif selama 3 tahun lagi dikritik pelbagai pihak, yang menganggap ia melanggar perlembagaan.

Mereka juga menganggap ia tamparan terhadap hakim kanan lain yang boleh memenuhi kekosongan jawatan itu.

Nama Malanjum dicadangkan beberapa pemimpin Pakatan Harapan, menyifatkan hakim besar Sabah dan Sarawak itu sebagai calon paling layak untuk menggantikan Raus.

“Malanjum adalah contoh hakim yang layak mendapat jawatan tertinggi itu,” kata bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim kepada FMT baru-baru ini.

“Dia tidak boleh dipintas hanya kerana dia beragama Kristian atau kerana dia bukan orang Melayu.”

Zaid yang turut hadir pada mesyuarat semalam mempersoalkan sama ada pemimpin BN di Sabah dan Sarawak yang sering membawa isu hak sama rata kedua negeri itu berpuas hati hakim besar mereka sekadar “orang nombor 4” dalam hierarki kehakiman.

“Ketua hakim adalah nombor satu, presiden Mahkamah Rayuan nombor 2, ketua hakim semenanjung nombor 3.

“Kamu (Sabah dan Sarawak) yang merupakan simpanan undi tetap untuk BN, sekadar nombor 4.

“Kamu tidak boleh menjadi rakan kongsi (dalam persekutuan) sekiranya tidak berani. Kamu mesti berjuang untuk hak sama rata,” kata Zaid.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/24/zaid-gesa-abaikan-soal-kaum-lantik-malanjum-ketua-hakim/