Bekas pengusaha stesen Caltex tolak syarat, mahu pertemuan libatkan kerajaan

caltex-6

KUALA LUMPUR: Bekas pengusaha stesen minyak menolak pertemuan bersyarat daripada Chevron Malaysia, atau lebih dikenali sebagai Caltex, dan mahu mengatur pertemuan baru yang turut melibatkan wakil kerajaan dan persatuan pengguna.

Berikutan itu, wakil mereka Fadzilah Abdul Hamid hari ini menghantar surat rasmi kepada wakil Caltex hari ini di ibu pejabat Chevron Malaysia di Menara Milenium, Pusat Bandar Damansara.

Surat tersebut memohon pertemuan melibatkan pengurusan Caltex, 15 bekas pengusaha stesen yang terkesan dengan penamatan operasi, wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ia juga memohon Caltex memberikan penjelasan mengenai penamatan operasi bekas pengusaha terbabit pada pertemuan bersama wakil kementerian dan persatuan pengguna itu nanti.

“Caltex beri syarat pada kita boleh bertemu tetapi beri syarat seperti pengusaha tidak boleh menanyakan sebab mereka diberhentikan, tidak membenarkan untuk menanyakan tentang pampasan, dan tidak boleh ada pihak ketiga untuk bertemu dengan pihak Caltex,” kata Fadzilah.

Menurut beliau, Caltex meletakkan syarat tersebut dalam jawapan pada Selasa kepada memorandum yang diserahkan bekas pengusaha Jumaat lalu.

“Jadi buat apa saya nak jumpa kalau ada syarat-syarat itu. Setakat nak tanya khabar saya bila-bila masa boleh jumpa dengan Caltex,” kata Fadzilah, dan merayu KPNKK memberi perhatian kepada perkembangan ini.

Wakil bahagian korporat menerima surat itu bagi pihak Caltex. “Kita akan jawab surat itu dalam masa terdekat,” kata wakil berkenaan ringkas kepada pemberita.

Wakil tersebut tidak mahu memberitahu jawatannya.

Turut hadir menyaksikan penerimaan surat itu Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Mohd Rofaie Mohd Hamdan, dan Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM Yusuf Azmi.

Pada 21 Julai lalu, sekumpulan bekas pengusaha stesen minyak pergi ke Caltex untuk mendapatkan penjelasan mengenai penamatan kontrak mereka tidak berpeluang menemui pegawai pengurusan syarikat minyak gergasi itu tetapi diminta pergi dari situ.

Fadzilah berkata para pegawai yang mereka mahu temui tidak berada di pejabat mereka atau di luar negara.

Malangnya, ini bukan kali pertama beliau diminta pergi dari situ dan berkata telah berunding dengan syarikat antarabangsa itu sejak 7 bulan lalu tetapi gagal.

Bulan lalu, Caltex menamatkan kontrak 6 pengusaha stesen minyak atas alasan “keputusan perniagaan”.

Caltex bagaimanapun tidak memaklumkan butiran mengenai penamatan itu, kerana mereka “tidak wajib memberi apa-apa sebab bagi penamatan itu”.

“Pendirian kami ialah kedua-dua pihak perlu mematuhi peruntukan kontrak,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Fadzilah bersama 14 pengusaha dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak dilaporkan menerima notis penamatan operasi stesen mereka melalui notis 15 Mei lalu.

Caltex memberikan tempoh 30 hari kepada mereka untuk menyerahkan stesen masing-masing.

Penamatan kontrak itu menjadi kontroversi selepas pengusaha terbabit mendakwa ia dilakukan “tanpa alasan munasabah”, dan juga kerana ia berlaku beberapa hari selepas Aidilfitri.