JPN tetap guna ‘bin Abdullah’ sehingga Mahkamah Persekutuan putuskan

Mohd-Yazid-Ramli_jpn_600

PETAING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan terus mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes dimuktamadkan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Mohd Yazid Ramli menambah amalan sedia ada akan diteruskan selaras dengan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuat keputusan bahawa di bawah undang-undang Islam, adalah tidak dibenarkan untuk kanak-kanak dibinkan dengan nama orang yang mengaku diri sebagai bapa memandangkan kanak-kanak telah dilahirkan kurang daripada 6 bulan qamariah dari tarikh perkahwinan ibu bapa.

“Sehubungan itu perlaksanaan semasa di JPN berkaitan penasaban anak tak sah taraf orang Islam adalah diteruskan seperti sedia ada, sebarang pindaan tahap perlaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperolehi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yazid berkata JPN sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan melalui Jabatan Peguam Negara pada 25 Julai lepas.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila ia mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa anaknya.

Dalam keputusan bertulis 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan memihak kepada ibu bapa anak itu, mahkamah mempertikaikan amalan mengenakan “bin Abdullah” pada anak luar nikah.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim itu, berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.

Kanak-kanak itu, dilahirkan pada 17 April 2010, iaitu kurang 3 hari sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit, diberi nama bapa “Abdullah” berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003.

JPN menolak permintaan ibu bapa untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran, berdasarkan fatwa 1981.

Menurut fatwa 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh dinasabkan kepada bapa anak tersebut atau kepada orang yang mengaku sebagai bapa kepada anak itu.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata ia bercanggah dengan Seksyen 13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah untuk menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/28/kesatuan-peguam-syarie-mohon-celah-jika-jpn-rayu-keputusan-bin-abdullah/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/28/larang-bin-abdullah-untuk-anak-luar-nikah-2-peguam-berbeza-pendapat/