Kes Jong Nam: Tertuduh Siti Aisyah menangis tertekan

Indonesian acting ambassador Andreano Erwin during the case mention of Siti Aisyah and Doan Thi Huong at the Shah Alam High Court today.
Pemangku Duta Indonesia, Andreano Erwin menghadiri sebutan kes Siti Aisyah dan Doan Thi Huong di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM: Wanita Indonesia, Siti Aisyah yang didakwa membunuh abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Nam, pada Februari lalu, menangis selepas sebutan kesnya hari ini.

Pemangku Duta Indonesia, Andreano Erwin yang bersama Siti Aisyah berkata, wanita itu tertekan selepas mendapati dia akan ditahan sementara menunggu perbicaraan kes itu yang mengambil masa beberapa bulan.

“Dia akan ditahan lebih 3 bulan dan sekarang terpaksa melalui proses perbicaraan panjang dalam beberapa bulan akan datang.

“Saya fikir dia tidak tahu apa yang mungkin berlaku semasa perbicaraan,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi.

Andreano berkata, sesiapa yang berada dalam situasi tidak pasti seperti Siti Aisyah akan tertekan.

Siti Aisyah dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong dituduh membunuh Jong Nam pada 13 Februari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Jong Nam dilaporkan berada di klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau, apabila 2 wanita mendekatinya lalu menyapu cecair beracun yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX, di mukanya.

Anak sulung kepada bekas diktator Korea Utara, Kim Jong Il meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azmi Ariffin menetapkan 23 hari untuk perbicaraan pada Oktober dan November ini, dengan 30 hingga 40 saksi akan dipanggil.

Andreano berkata, kedutaan itu membantu komunikasi Siti Aisyah dengan ibu bapa yang tinggal di Indonesia.

“Setakat ini, dia tidak membuat sebarang permintaan khas kepada kami, kecuali kali terakhir dia menghantar surat kepada keluarganya.”

Beliau berkata, selepas menghantar surat itu, Kedutaan Indonesia mengatur panggilan telefon dengan keluarganya dari Penjara Kajang, di mana Siti Aisyah ditahan.

Sebelum ini, dia menghantar surat kepada keluarganya dan meminta mereka tidak risau dengan kesnya di sini.

“Berdoalah untuk saya, kes ini akan berakhir dan saya boleh pulang ke rumah,” kata Siti Aisyah dalam surat terakhirnya.

40 saksi termasuk 10 pakar untuk kes Jong Nam bermula Oktober