Ketua hakim enggan tarik diri dengar permohonan bersejarah Majlis Peguam

raus-1MDBPUTRAJAYA: Tiada orang dalam sejarah perundangan negara ini yang pernah memohon ketua hakim negara menarik diri daripada mendengar sesuatu kes – sehingga hari ini.

Majlis Peguam bersama 2 pengkritik kerajaan hari ini memohon Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif menarik diri daripada mendengar permohonan mereka berhubung kegagalan peguam negara tidak mendakwa Datuk Seri Najib Razak berkaitan sumbangan RM2.6 bilion.

Bagaimanapun, panel 3 hakim yang dipengerusikan Raus menolak permohonan itu dengan berkata, tiada merit dalam kes berkenaan.

“Bagaimanapun, saya boleh memberi jaminan sebarang keputusan yang akan dibuat bersama 2 hakim lain berdasarkan fakta dan undang-undang,” katanya kepada peguam dalam permohonan itu.

Dua lagi hakim itu ialah Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Azahar Mohamed.

Peguam, Gopal Sri Ram berkata, lebih baik untuk Raus menarik diri kerana anak guamnya, Datuk Zaid Ibrahim melemparkan tuduhan serius terhadap perdana menteri.

“Ia lebih baik untuk persepsi umum anda menarik diri dan hakim lain mengetuai prosiding itu,” katanya.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menerima hujah Gopal.

Tommy Thomas yang mewakili Majlis Peguam berkata, anak guamnya akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Raus berhubung kesahihan pelantikannya sebagai ketua hakim negara selepas persaraan wajib.

“Majlis Peguam akan menjadi plaintif, manakala ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan dinamakan defendan.”

Beliau berkata, mengikut tradisi, Jabatan Peguam Negara akan mewakili ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.

Peguam kerajaan, Datuk Amarjeet Singh menggesa panel itu menolak permohonan berkenaan kerana ia akan menjadi duluan.

April lalu, panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid turut menolak rayuan 3 pihak itu.

Pada 11 November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hanipah Farikullah menolak permohonan mendapat kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman oleh Majlis Peguam, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid dan Khairuddin.

Tiga pihak itu mencabar keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menutup kes itu susulan dakwaan wang berkenaan dimasukkan ke akaun bank Najib.

Apandi yang juga pendakwa raya pada 26 Januari 2016 mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan kes itu.

Hanipah dalam 3 penghakiman berasingan berkata, mahkamah bukan tempat mendapatkan ganti rugi untuk mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan peguam negara tidak mendakwa mana-mana kes jenayah.

“Kaedah untuk orang yang tidak berpuas hati dengan keputusannya (peguam negara) di tempat lain, bukan di mahkamah,” katanya.

Hanipah dalam penghakimannya berkata, beliau terikat dengan perintah Mahkamah Persekutuan kenapa keputusan peguam negara tidak memulakan prosiding jenayah di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh disemak mahkamah.

Peruntukan itu menyatakan peguam negara mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan sebarang prosiding jenayah.

Hanipah berkata, tidak wujud konflik kepentingan apabila Apandi memutuskan tidak mendakwa perdana menteri berhubung 1MDB dan isu berkaitan.