Najib, mana janji akta kawal peguam syariah, soal persatuan

najib-razak-Persatuan-Peguam-Syarie-MalaysiaKUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunaikan janji 6 tahun lalu dan menyegerakan penggubalan Akta Profesion Guaman Syarie.

Penggubalan akta itu akan membolehkan pemantauan, kawalan dan penjagaan kebajikan peguam syariah, penyeragaman undang-undang syariah dan penerimaan masuk peguam syarie, penubuhan sebuah badan peguam syarie dan garis panduan etika guaman syariah di peringkat nasional.

Dengan adanya perkara yang disebutkan, ia akan mengangkat taraf profesion peguam syarie setaraf profesion peguam sivil, yang dikawal akta Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan dinaungi Badan Peguam Malaysia.

“Kami secara tegas mohon dan mendesak Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengotakan janji yang pernah dibuat pada 1 Julai 2011.

“Kami turut desak kerajaan negeri melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan usul meminta Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang seragam seluruh negara,” kata Presiden PGSM Musa Awang dalam sidang media di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Perdana menteri dilaporkan berkata kerajaan akan menyegerakan penggubalan akta khusus itu, dalam ucapannya di majlis serentak perasmian Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia ke-13 dan penutupan Konvensyen Peguam Syarie Seluruh Malaysia ke-2 di ibu negara pada 2011.

Najib dilaporkan berkata Malaysia ketika ini tidak mempunyai akta khusus bagi mengawal etika guaman syarie sehingga menimbulkan kes seperti menipu anak guam, membawa butiran palsu, dan mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi dan tidak munasabah.

Musa berkata keperluan akta tersebut tidak dapat dipertikaikan, sekaligus melindungi orang awam dan wibawa peguam syariah.

“Kalau seseorang peguam syarie itu dikenakan tindakan disiplin di Selangor, dia masih boleh bertugas sebagai peguam syarie di Kedah kerana Kedah tidak kenakan tindakan disiplin terhadapnya.

“Penipuan dilakukan peguam syariah palsu juga dapat dielakkan kerana yang akan menjadi mangsa adalah orang awam, kerana bukan semua orang boleh berikan nasihat dan khidmat guaman,” katanya.

Menurut Musa, beberapa pertemuan antara PGSM dengan kerajaan sejak 2011 sehingga Disember 2015, termasuk bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, namun masih tiada keputusan.

“Terbaru pada Mei lalu, kita sendiri bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman. Mereka sendiri tidak tahu di manakah kedudukan akta ini,” katanya.

Musa berkata, draf akta itu sudah diserahkan kepada kerajaan persekutuan.

“Tugas kami sudah selesai untuk siapkan draf akta itu. Tetapi kini tugas kerajaan pula untuk gerakkan perkara berkenaan. Apabila sudah tidak bergerak, maka kami terpaksa desak,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2011/07/01/akta-guaman-syarie-untuk-kawal-selia-peguam/