Nama ‘bin Abdullah’: PAS dan menteri mahu fatwa diutamakan

Khairuddin-Aman-RazaliPETALING JAYA: Seorang menteri dan seorang pemimpin PAS hari ini bersetuju mahkamah sivil perlu merujuk dan mengambil fatwa yang diwartakan di peringkat persekutuan dan negeri sebagai panduan dalam membuat penghukuman yang melibatkan kepentingan Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan fatwa yang dikeluarkan sama ada di peringkat persekutuan mahupun yang diwartakan di peringkat negeri adalah undang-undang sah.

Beliau mengakui keterbatasan ikatan fatwa yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa kebangsaan tiada kuasa ikatan perundangan (legal binding) kerana kuasa agama merupakan kuasa negeri.

“Namun fatwa yang diputuskan Jawatankuasa Negeri setelah diperkenan Tuanku Sultan dan diwartakan masih perlu diambil kira apabila pertikaian adalah berkaitan dengan hukum syarak berdasarkan undang-undang yang diluluskan di bawah bidang kuasa negeri,” tambahnya, merujuk kepada Jadual Kesembilan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, mahkamah mempunyai tanggungjawab undang-undang, agama dan moral untuk merujuk kepada hukum syarak apabila ia melibatkan kepentingan orang Islam, dan agensi kerajaan sendiri seperti Jabatan Pendaftaran Negara perlu bertindak sebagai agensi yang melaksana semua undang-undang yang sah termasuk yang berhubung kait dengan hukum syarak.

“Justeru, amat wajar sekali pihak peguam negara mewakili Kerajaan Persekutuan dan agensi dibawahnya khususnya Jabatan Peguam Negara untuk mengangkat kes ini bagi dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan,” kata Asyraf.

Asyraf menjelaskan hukum Islam dalam hal penamaan anak luar nikah jelas sebagaimana Garis Panduan Penamaan dan Kedudukan Anak Tidah Sah Taraf dari Segi Syarak yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam pada 25 Jun 1998.

Menurut garis panduan itu, anak tidak sah taraf, termasuk anak luar nikah, hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah, atau lain-lain Allah (Asma Al-Husna) berpangkalkan Abdul.

“Ini kerana syarak dan maqasid syariah amat mementingkan pemeliharaan nasab keturunan yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek keabsahan pergaulan, perwalian, pembahagian harta pusaka, perkahwinan, nafkah dan lain-lain,” kata Asyraf.

“Khalayak umum melihat keputusan Mahkamah Rayuan hanya berasaskan dari satu sudut perundangan dan perspektif hukum sivil semata-mata tanpa mengambil kira roh dan prinsip syariah dan maqasid syariah,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Mohd Khairuddin Aman Razali mahu satu akta khusus dicadangkan di Parlimen, yang memberikan kuasa undang-undang kepada fatwa negeri bagi dijadikan rujukan yang mengikat mahkamah sivil dalam isu bersabit dengan Islam.

Pada tafsirannya, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, maka ia sepatutnya memberi maksud Islam menjadi rujukan utama “segala tindak tanduk bernegara” serta “segala peruntukan undang-undang negara”.

“Tapi ternyata Perkara 3 itu belum diberikan hak tafsiran yang sepatutnya untuk mengikat segala penghakiman di Mahkamah sivil dengan Islam,” tegas Khairuddin.

Beliau menambah Mahkamah Rayuan tidak memberi pertimbangan sewajarnya kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam kerana mahkamah hanya membataskan kepada isu pendaftaran semata-mata.

“Walaupun pendaftaran tersebut memberi implikasi terhadap undang-undang Islam,” katanya, dan menambah penghakiman tersebut mendedahkan fatwa yang dikeluarkan badan agama tidak mempunyai kuasa undang-undang, “melainkan fatwa itu diterima atau diguna pakai sebagai undang-undang persekutuan menerusi Parlimen.”

“Di sinilah perlunya satu akta dicadangkan di parlimen untuk memberikan kuasa undang-undang kepada fatwa-fatwa negeri bagi dijadikan rujukan yang mengikat mahkamah Sivil dalam isu-isu bersabit dengan Islam.”