Pemandu e-hailing mungkin tarik diri, enggan dikawal kerajaan

riding-pink-1PETALING JAYA: Sebuah syarikat perkongsian kenderaan tidak menolak kemungkinan pemandunya menarik diri kerana tidak mahu dikenakan pelbagai syarat susulan kelulusan pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal selia syarikat e-hailing.

Jurucakap sebuah syarikat perkongsian kenderaan, Riding Pink yang kini mempunyai lebih 450 pemandu wanita berdaftar berkata, ada di kalangan pemandunya yang kurang penumpang mungkin menarik diri kerana tidak mampu membayar pelbagai kos bakal dikenakan kerajaan berdasarkan keuntungan mereka.

Beliau juga berpendapat sesetengah orang yang berminat menjadi pemandu syarikat terbabit mungkin membatalkan hasrat mereka disebabkan pelbagai kos permulaan yang perlu dibayar.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan tindakan kerajaan itu tidak akan membawa perubahan terlalu besar kepada Riding Pink.

Katanya, Riding Pink mengalu-alukan pengawal seliaan ke atas syarikat e-hailing kerana ia menunjukkan sokongan dan pengiktirafan kerajaan terhadap ekonomi elektronik, selain bertanggungjawab menjamin kepentingan rakyat.

Jurucakap itu berkata, dari sudut pengguna pula, langkah kerajaan itu boleh menjamin keselamatan penumpang.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, syarikat e-hailing perlu menyerahkan identiti pemandu mereka kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk pemeriksaan latar belakang jenayah sebelum diambil bertugas, demi keselamatan penumpang.

Dengan lulusnya pindaan itu juga akan mewajibkan syarikat sedemikian memiliki lesen perniagaan perantara dan mematuhi syarat ditetapkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.

Beliau berkata, pemandu teksi dan pemandu e-hailing perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kenderaan bagi kenderaan berusia 3 tahun ke atas, memiliki insurans serta kad pemandu perdagangan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/27/pindaan-akta-lulus-kerajaan-kini-ada-kuasa-kawal-uber-grab/