Sindiket salah guna hotline, menyamar polis trafik tipu mangsa

Nadzri-Hussain-accident

PETALING JAYA: Orang ramai diminta berwaspada terhadap sindiket penipuan yang menyalahgunakan hotline polis trafik Kuala Lumpur untuk menyamar sebagai polis trafik meminta mangsa memasukkan wang ke akaun bank tertentu bagi tujuan pembayaran saman.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP Nadzri Hussain dipetik Oriental Daily berkata, pihaknya memulakan siasatan selepas menerima aduan hotline 03-20719999 dijadikan alat penipuan.

“Polis trafik tidak akan menelefon pengadu selepas menerima laporan kemalangan. Kami perlu tunggu 24 jam selepas pihak ke-2 terbabit kemalangan itu tidak tampil, baru polis trafik akan menghubungi pengadu dan meminta mereka membantu siasatan.”

Katanya, selain kos membuat salinan laporan polis, polis tidak akan meminta orang ramai membayar kos tambahan atau perkhidmatan lain.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai menghubungi polis untuk mendapatkan pengesahan dan tidak menurut permintaan penipu memasukkan wang ke akaun bank tertentu.