SPRM rampas dokumen pembelian hotel FIC

Dzulkifli-Ahmad-fic

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merampas dokumen berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC).

SPRM berkata pasukan penyiasatnya menyerbu 6 lokasi di ibu negara dan Kuching hari ini untuk mengumpul maklumat berhubung pembelian hotel itu pada 2014 sebelum merampas dokumen berkaitan.

“SPRM akan meneliti semua dokumen tersebut untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

Agensi pencegahan rasuah itu juga akan memanggil beberapa saksi penting bagi tujuan merakam percakapan mereka untuk mendapatkan maklumat serta bukti kukuh sebelum tindakan lanjut diambil dalam masa terdekat.

Menurut SPRM, kertas siasatan berhubung pembelian hotel itu dibuka susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London, United Kingdom oleh FIC sebelum ini.

Kertas siasatan dibuka atas arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad bagi menyiasat pembelian hotel di Kuching, yang disyaki dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran.

Berdasarkan maklumat siasatan awal SPRM, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian ratusan jutaan ringgit.