Tidak sepatutnya timbul isu ‘kesucian nasab’, kata Syahredzan

Syahredzan-Johan_law_baby_600

PETALING JAYA: Peguam Syahredzan Johan berkata tidak sepatutnya timbul isu memelihara “kesucian nasab” dalam soal keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan anak luar nikah menggunakan nama bapa sebenar dalam dokumen rasmi kerajaan.

Ini kerana isu utama kes tersebut berkenaan tafsiran Seksyen 13 dan 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 berkenaan penggunaan nama bapa untuk anak luar nikah, dan bukan mengenai status anak luar nikah di sisi agama.

Syahredzan berkata mahkamah memutuskan sekiranya peruntukan seksyen tersebut dipatuhi, maka Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak wajar menolak permohonan untuk meletakkan anak itu berbinkan atau berbintikan bapanya.

Tambahnya lagi, mahkamah juga memutuskan badan kerajaan seperti JPN tidak terikat dengan fatwa, kerana bidang kuasa badan kerajaan itu diberikan oleh undang-undang persekutuan.

“Keputusan ini tidak menaikkan taraf anak luar nikah. Anak luar nikah masih tidak boleh mewarisi harta, menjadi wali atau muhrim. Isu-isu seperti ini, menurut Mahkamah Rayuan, melibatkan hukum syarak dan di luar bidang kuasa mahkamah sivil.

“Oleh itu, sepatutnya tidak timbul isu tentang ‘memelihara kesucian nasab’,” kata Syahredzan di Facebook hari ini.

Seksyen 13 akta tersebut menyatakan pendaftar hendaklah tidak mencatatkan ke dalam daftar nama mana-mana orang sebagai bapa kanak-kanak itu “kecuali atas permintaan bersama oleh ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa kanak-kanak itu”.

Seksyen 13A akta yang sama pula menyatakan, pendaftar boleh mencatatkan nama keluarga, jika ada, jika ibunya secara sukarela memberi maklumat itu, menjadikan nama ibunya sebagai nama keluarga, “dengan syarat jika orang yang mengaku dirinya menjadi bapa kanak-kanak itu mengikut peruntukan Seksyen 13 meminta sedemikian”.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila ia mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa anaknya.

Dalam keputusan bertulis 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan memihak kepada ibu bapa anak itu, mahkamah mempertikaikan amalan mengenakan “bin Abdullah” pada anak luar nikah.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim itu, berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.

Kanak-kanak itu, dilahirkan pada 17 April 2010, iaitu kurang 3 hari sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit, diberi nama bapa “Abdullah” berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003.

JPN menolak permintaan ibu bapa untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran, berdasarkan fatwa 1981.

Menurut fatwa 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh dinasabkan kepada bapa anak tersebut atau kepada orang yang mengaku sebagai bapa kepada anak itu.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata ia bercanggah dengan Seksyen 13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah untuk menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.

Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Mohd Yazid Ramli hari ini berkata JPN sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan melalui Jabatan Peguam Negara pada 25 Julai lepas.

JPN akan terus mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes dimuktamadkan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/28/nama-bin-abdullah-pas-dan-menteri-mahu-fatwa-diutamakan/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/28/kesatuan-peguam-syarie-mohon-celah-jika-jpn-rayu-keputusan-bin-abdullah/