Tubuh isteri bukan milik suami, Marina bidas wakil rakyat BN

Marina-Mahathir_rape_5600

PETALING JAYA: Aktivis Datin Paduka Marina Mahathir kesal dengan kenyataan seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini yang menyamakan penafian seks dengan penderaan rumahtangga, sambil menyatakan kebimbangan dengan tahap pemikiran pemimpin negara.

Marina mempertikaikan apakah lelaki tidak mampu mengawal nafsu seks mereka.

“Dengan pemikiran sebegini di kalangan pemimpin kita, saya bimbang nasib negara kita, apalagi wanita.

“Saya terkejut lelaki mempamerkan kelemahan tanpa malu namun pada masa sama menuntut hanya mereka yang harus menjadi pemimpin.

“Kalau seorang lelaki boleh ditumbangkan seorang wanita dengan hanya menolak seks, bayangkan berapa banyak negara yang akan musnah,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Setiu, Che Mohamad Zulkifly Jusoh dalam perbahasan Dewan Rakyat mengenai keganasan rumahtangga berkata menolak layanan batin boleh dianggap satu bentuk penderaan psikologi dan emosi ke atas suami.

“Walaupun kaum lelaki dikatakan lebih kuat dari segi fizikal, bagaimanapun berlaku juga isteri mencederakan atau cuba mencederakan suami dengan cara yang begitu ekstrem sekali,” katanya.

“Biasanya, kalau isteri maki hamun suami, menghina suami, menolak layanan batin, semua termasuk dalam psikologi dan emosi.”

Marina berkata perkahwinan tidak menyerahkan hak ke atas tubuh isteri kepada suami.

Menurutnya, setiap insan, termasuk wanita, berhak memutuskan apa yang terbaik untuk diri masing-masing, dan perkahwinan tidak merampas hak itu.

“Setiap insan ada akal, bermakna mereka berhak fikir untuk diri sendiri dan apa yang terbaik untuk diri mereka. Ini termasuk hak ke atas maruah fizikal. Seorang lelaki bukan pemilik tubuh wanita apabila berkahwin, begitu juga wanita bukan pemilik tubuh lelaki itu.

“Jadi untuk menuduh seorang wanita, yang kebiasaannya menjadi mangsa dera, sebagai pendera lelaki itu kerana menolak hubungan seks dengannya, adalah melucukan. Isteri tidak menyerahkan akal dan maruah fizikal apabila mengahwini lelaki itu,” kata Marina.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita, Sumitra Visvanathan berkata seks tanpa izin, walaupun dalam perkahwinan, adalah rogol.

Katanya, menyamakan penafian seks sebagai suatu penderaan bukan sahaja mengarut dan seksis tetapi juga mewajarkan rogol dalam rumahtangga.

“Rogol tetap rogol. Kita mesti cabar persepsi seksis seperti itu demi menegakkan kesopanan, kesamaan dan hormat terhadap hak wanita dalam wacana umum,” kata Sumitra kepada FMT.

Pertubuhan hak wanita Islam, Sisters in Islam, berkata mereka terkejut dengan kenyataan “cuvanis” oleh Che Mohamad.

“Kecederaan yang dialami mangsa keganasan rumahtangga tidak boleh diperkecilkan.”

Ini kerana perkahwinan ialah institusi yang disatukan perasaan kasih dan saling hormat-menghormati, katanya.

“Dalam sempadan itu, hak suami isteri perlu dilaksanakan dengan perasaan saling menyayangi dan menghormati.”

Itu bukan kali pertama seorang wakil rakyat mencetuskan kontroversi dengan komen mengenai wanita. April lalu seorang wakil rakyat kerajaan berkata gadis semuda 9 tahun “secara fizikal dan rohani” bersedia untuk perkahwinan.

Wanita dera suami jika tolak seks, kata wakil rakyat Umno