Wanita 77 tahun rugi RM1 juta terjerat ‘love scam’

Mohd-Sakri-Arifin-nenek-tipu-scam-nigerianPETALING JAYA: Seorang wanita berusia 77 tahun dari Amerika Syarikat (AS) kehilangan lebih RM1 juta dalam “love scam” yang disangkakannya cinta sejati.

The Star melaporkan wanita itu berkenalan dengan suspek yang mendakwa dirinya taikun pembinaan di media sosial. Selepas kata-kata manis melalui e-mel, lelaki itu mengajak mangsa berjumpa di Malaysia.

Ketika itu, mangsa sudah memasukkan AS$225,000 (RM962,000) ke akaun suspek dan mengirim AS$60,000 (RM256,500) kerana mempercayai dakwaan dia boleh menggandakan wangnya jika mangsa melabur dalam perniagaannya.

Bagaimanapun, setibanya di Malaysia Ahad lalu, beliau dibawa ke sebuah hotel di Puchong sebelum bagasinya bersama dokumen pengenalan diri dan perjalanannya dilarikan.

Laporan itu berkata, mangsa kemudian mendapatkan bantuan Kedutaan AS, di mana pegawai menghubungi polis bagi pihaknya.

Sepasukan penyiasat dihantar ke satu alamat di Setapak, destinasi kiriman wang itu.

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, SAC Mohd Sakri Arifin berkata, 2 lelaki warga Afrika ditahan ketika mereka menerima bungkusan itu Isnin lalu.

Dua suspek itu dilaporkan berusia 26 hingga 33 tahun dan datang ke Malaysia menggunakan visa pelajar pada 2015.

Kira-kira AS$30,000 (RM128,325) dirampas bersama dokumen pengenalan, telefon bimbit, 3 kad ATM dan sebuah kereta.

Sakri berkata, polis masih mencari baki AS$255,000 (RM1.09 juta).

Katanya, polis berjaya mendapatkan perbualan atas talian antara suspek dan mangsa yang menunjukkan lelaki terbabit “pakar dalam memanipulasi mangsa”.

April lalu, hampir 200 mangsa terjerat dengan “romance scam” setiap bulan pada suku pertama tahun ini membabitkan kerugian mencecah RM23.6 juta.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 581 kes seperti itu direkodkan antara Januari dan Mac.