Art Harun: Langkah JPN guna ‘bin Abdullah’ hina mahkamah

Art-Harun_jpn_bayi_600

PETALING JAYA: Keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mahu meneruskan amalan menambah nama keluarga “bin atau binti Abdullah” melibatkan anak Muslim luar nikah atau mereka yang lahir dalam tempoh 6 bulan selepas perkahwinan merupakan perbuatan menghina mahkamah, kata seorang peguam.

Azhar Harun, yang lebih dikenali sebagai Art Harun, mendakwa keputusan Ketua Pengarah JPN Datuk Yazid Ramli yang menegaskan mahu meneruskan amalan yang dilarang susulan keputusan Mahkamah Rayuan menunjukkan penghinaan terhadap sistem kehakiman.

“Kita mempunyai kerajaan yang tidak menghormati undang-undang yang digubal oleh Parlimen dan kemudian ia mengabaikan penghakiman yang dibuat oleh badan kehakiman.

“Kedaulatan undang-undang sepatutnya dilaksanakan oleh mahkamah dan dipraktikkan oleh semua, terutama institusi kerajaan, (kini) hanya menjadi satu aksesori,” kata Art yang menegaskan pendiriannya menerusi laman Facebooknya hari ini.

Beliau menambah, penghinaan itu hanya melemahkan status badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang di negara ini.

Semalam, Yazid berkata, JPN akan terus menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes dimuktamadkan di peringkat Mahkamah Persekutuan kelak.

Kata beliau, amalan sedia ada akan diteruskan selaras dengan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuat keputusan bahawa di bawah undang-undang Islam, adalah tidak dibenarkan untuk kanak-kanak dibinkan dengan nama orang yang mengaku diri sebagai bapa memandangkan kanak-kanak telah dilahirkan kurang daripada 6 bulan qamariah dari tarikh perkahwinan ibu bapa.

“Sehubungan itu pelaksanaan semasa di JPN berkaitan penasaban anak tak sah taraf orang Islam adalah diteruskan seperti sedia ada, sebarang pindaan tahap perlaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperolehi,” katanya.

Yazid berkata JPN sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan melalui Jabatan Peguam Negara pada 25 Julai lepas.

Mahkamah Rayuan berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila ia mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa anaknya.

Dalam keputusan bertulis 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan memihak kepada ibu bapa anak itu, mahkamah mempertikaikan amalan mengenakan “bin Abdullah” pada anak luar nikah.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim itu, berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.

Kanak-kanak itu, dilahirkan pada 17 April 2010 iaitu kurang 3 hari sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit, diberi nama bapa “Abdullah” berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003.

JPN menolak permintaan ibu bapa untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran, berdasarkan fatwa 1981.

Menurut fatwa 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh dinasabkan kepada bapa anak tersebut atau kepada orang yang mengaku sebagai bapa kepada anak itu.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata ia bercanggah dengan Seksyen 13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah untuk menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/28/jpn-tetap-guna-bin-abdullah-sehingga-mahkamah-persekutuan-putuskan/