Haram buku G25: Malaysia menuju ‘negara pengasuh’, kata ahli akademik

Tajuddin-Rasdi_g25_book_600

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan untuk mengharamkan buku tulisan beberapa penulis Islam progresif menunjukkan negara menuju ke arah “negara pengasuh” di mana kerajaan campur tangan dalam hampir setiap aspek pilihan peribadi dan pandangan seseorang, kata ahli akademik.

Prof Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI berkata intelektual Malaysia harus dibenarkan untuk membincangkan perkara agama atau pandangan sosial yang lain.

“Sekarang, ia kelihatan para cendekiawan tidak dapat memberi pendangan mengenai agama kerana mereka tidak pergi madrasah.

“Ini adalah masalah kerana kumpulan agama dibenarkan memberi komen sama ada arca itu baik atau tidak atau masjid patut mempunyai asrama,” katanya kepada FMT.

Pensyarah seni bina itu mengulas mengenai pengharaman baru-baru ini oleh Kementerian Dalam Negeri terhadap buku yang dikarang oleh kumpulan 25 tokoh Melayu yang menggelarkan diri mereka sebagai G25.

Buku itu, “Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy” (Memecah Kesunyian: Suara Kesederhanaan – Islam dalam Demokrasi Perlembagaan) adalah kompilasi esei oleh 22 penulis tetapi Putrajaya berkata buku itu “menjejaskan ketenteraman awam”.

“Buku itu menyediakan perspektif yang berbeza. Mereka tidak cuba untuk menjejaskan apa-apa. Jika mereka tidak dibenarkan untuk memberikan pandangan sedemikian maka tiada sesiapa dapat meluahkan perasaan walaupun bahasa Inggeris mereka sangat baik.

“Mereka perlu diberi ruang,” kata Tajuddin.

Pengharaman buku itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini), dan ditandatangani Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi pada 14 Jun.

Sebelum ini, Chandra Muzaffar, salah seorang penyumbang kepada buku tersebut menyifatkan langkah pengharaman buku itu sebagai “tidak munasabah”.

“Ia himpunan esei yang bertujuan untuk menunjukkan pemikiran pelampau dan sempit dalam hal berkaitan amalan Islam di negara ini perlu dibanteras secara intelektual.

“Itu tujuan buku itu, dan untuk menunjukkan usaha pelampau mentafsirkan Islam dengan cara yang sesuai dengan kepentingan kumpulan tertentu,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/27/g25-bidas-kerajaan-haramkan-bukunya/