Keputusan mahkamah isu anak tak sah taraf bantu buang stigma

rtk-baby-lots-hospitalPETALING JAYA: Seorang pengurus rumah kebajikan menyifatkan keputusan mahkamah berhubung penggunaan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan kanak-kanak luar nikah akan memberi faedah dalam jangka panjang khususnya menghindari stigma.

Bercakap kepada FMT, Haslinda Dol Hamid, Pengurus Rumah Titian Kaseh yang menempatkan kira-kira 90 anak yatim dan kanak-kanak miskin berkata, keputusan itu akan membantu menghalang anak-anak luar nikah daripada menjadi bahan ejekan.

“Kanak-kanak dengan nama keluarga bin atau binti Abdullah sering dipersenda, sehingga mereka mula bertengkar,” kata beliau sambil menambah, kanak-kanak pada masa sekarang pintar dan tahu makna tersirat pada nama keluarga mereka.

“Mereka akan mengejek anak luar nikah, memanggil mereka sebagai anak yang tidak sah dan kanak-kanak yang dihina akan marah dan harga diri terjejas.”

Dari sudut pandangan bukan agama, Haslinda berkata, keputusan mahkamah itu juga boleh memudahkan kehidupan kanak-kanak untuk membantu mereka mengetahui keluarga mereka.

Justeru kata beliau, lebih baik jika maklumat bapa dimasukkan dalam sijil kelahiran.

Pada masa ini, beliau berkata, sijil kelahiran kanak-kanak Muslim luar nikah atau dalam masa enam bulan selepas perkahwinan ibu bapa tidak mempunyai maklumat sedemikian.

“Jadi, walaupun mereka membenarkan anak-anak terbabit mengambil nama bapa mereka, mungkin tidak cukup.

“Maklumat ayah yang sebenar mesti disertakan supaya mereka dapat mengetahui siapa bapa mereka dan jika pada masa akan datang mereka mahu mencari bapa, ia akan lebih mudah.”

Namun Haslinda berkata, dari perspektif agama, pandangan pakar agama harus dipertimbangkan.

Mahkamah Rayuan dalam keputusannya berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak Islam, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa kanak-kanak tersebut.

Dalam penghakiman bertulis dikeluarkan 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada ibu bapa kanak-kanak itu, mahkamah turut mempertikaikan amalan menggenakan “bin Abdullah” kepada anak luar nikah.

“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” tulis Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim dalam penghakiman 28 halaman yang dikeluarkan 2 hari lalu.

Hakim lain ialah Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Puan Sri Zaleha Yusof.

Abdul Rahman berkata ketua pengarah JPN bertindak tidak rasional apabila mendaftarkan kanak-kanak itu dengan nama bapa “Abdullah” dalam sijil kelahiran, menentang hasrat ibunya.

Beliau juga berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.

Bagaimanapun seorang aktivis dari kumpulan sukarelawan yang menguruskan kes lambakan dan penjualan bayi, tidak bersetuju dengan penghakiman mahkamah atas alasan melanggar peraturan Islam.

Hamidah (bukan nama sebenarnya), pengasas Kami Sanggup Ambil Anak Angkat (KSAAA) berkata, jelas dalam al-Quran anak-anak luar nikah tidak layak untuk menikmati banyak perkara termasuk menjadi wali dan mewarisi harta pusaka.

“Sekiranya mereka membenarkan anak-anak mengambil nama keluarga bapa mereka daripada Abdullah atau mana-mana 99 nama Tuhan, yang kini diamalkan, status kanak-kanak sebagai anak tidak sah mesti diperhatikan pada sijil kelahiran untuk mengelakkan komplikasi perkara-perkara seperti waris atau wali.”

Beliau juga memberitahu, tidak kira jika seorang anak yatim yang lahir dari perkawinan mengambil nama biologi ayahnya atau tidak, dari pengalamannya, mereka yang ingin mengambil anak tidak pernah mengalami masalah dengan status anak.

“Kebanyakan orang yang saya bantu dengan memadankan keluarga angkat dan anak yang dilahirkan di luar nikah tidak peduli. Mereka tahu anak itu anak yang tidak sah.

“Walaupun mereka tahu sebagai bapa angkat, anak itu tidak boleh mengambil nama keluarga ayah angkat kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.”

Isu utama, menurut Hamidah, bukan tentang nama keluarga anak tetapi mentaliti masyarakat.

“Kanak-kanak tidak bersalah, masalahnya terletak pada anggota masyarakat yang menimbulkan stigma di kalangan anak-anak luar nikah. Membenarkan kanak-kanak mengambil nama bapa biologi mereka tidak menghalang masalah asas orang yang menyusahkan orang lain.”

Mahkamah: JPN tiada hak tambah ‘Abdullah’ pada nama anak luar nikah