Laporan siasatan pesawat Hawk terhempas diketahui 3 minggu lagi

Affendi-Buang-hawk-108BUTTERWORTH: Laporan awal siasatan insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di Chukai, Terengganu pada 15 Jun lepas dan mengorbankan 2 juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dikeluarkan dalam tempoh 2 hingga 3 minggu lagi.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, siasatan insiden itu memerlukan masa kerana pihaknya perlu menjalankan kajian serta penyelidikan secara rapi dan terperinci bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung kejadian tersebut.

“Kami telah menghantar beberapa sampel, iaitu alatan pesawat berkenaan kepada syarikat pembuat pesawat tersebut untuk dibuat uji kaji dan penelitian rapi bagi menentukan punca sebenar insiden tersebut serta laporan saintifik daripada mereka,” katanya selepas sambutan Hari Ulang Tahun ke-20 bagi No 18 Skuadron (pesawat FA-18D Hornet) di pangkalan udara hari ini.

Dalam insiden itu, Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, terkorban apabila pesawat dinaiki mereka terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.

Kejadian berlaku ketika kedua-duanya menjalani latihan menggunakan pesawat itu sebelum terputus hubungan kira-kira 1.30 pagi. Jasad 2 mangsa ditemui pada 2.30 petang hari sama, kira-kira 53km dari Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang.

Sementara itu, Affendi yang tiba dari Pangkalan Udara Subang 11.25 pagi menaiki FA-18D Hornet dipandu Pegawai Pemerintah No 18 Skuadron, Kolonel Koey Tang Chai berkata, pesawat tempur berkenaan masih relevan dan diyakini boleh beroperasi sekurang-kurangnya 18 tahun lagi.

“Semua pesawat ini dinaik taraf secara konsisten, termasuk pemasangan sistem senjata baharu Joint Direct Attack Munition (JDAM) dan peluru berpandu AMRAAM C7,” katanya.

Affendi berkata, pesawat tempur serba guna buatan Amerika Syarikat itu mula digunakan pada 1997 selepas diserahkan secara rasmi kepada TUDM dan ia turut digunakan ketika operasi menangani pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

“Memang TUDM ada cadangan untuk menambah beberapa pesawat tempur, termasuk FA-18D Hornet, tetapi semua itu bergantung kepada kerajaan pusat dan saya percaya mereka mempunyai perancangan berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Ditanya perkembangan di Marawi, Filipina yang menyaksikan pertempuran tentera negara itu dengan pengganas yang masih berlarutan, Affendi berkata, TUDM sudah mengambil langkah segera dan berjaga-jaga.

“TUDM memang mempunyai pangkalan tentera di Labuan, malahan kami turut mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengawal perbatasan negara dan pemantauan ruang udara dengan beberapa aset kita, termasuk pesawat Sukhoi dan FA 18D Hornet turut ditempatkan di Labuan,” katanya.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/06/15/2-juruterbang-tudm-terbunuh-pesawat-hawk-masih-dicari/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/16/rangka-pesawat-hawk-108-ditemui/