Vaksin wajib: Cadangan kerajaan nafi hak pendidikan

Vaksin_kanak_600

PETALING JAYA: Cadangan membenarkan hanya kanak-kanak yang divaksin boleh didaftarkan di tadika tidak adil kerana pendekatan itu menafikan hak kanak-kanak untuk menerima pendidikan awal, kata penyanyi nasyid, Suhaimi Saad yang tahun lalu memilih untuk tidak mevaksin anaknya.

Bercakap kepada FMT, Suhaimi berkata pengumuman Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam mengenai perkara itu menunjukkan kerajaan mengambil langkah “selamat” tetapi menegaskan keadilan mesti dipastikan untuk kanak-kanak yang mempunyai reaksi sebaliknya terhadap suntikan vaksin.

“Jika anda membaca komen ibu bapa di media sosial, anda akan melihat ramai yang bercakap tentang kesan sampingan yang dialami anak mereka.

“Vaksinasi hanya langkah pencegahan dan bukannya jaminan. Jadi bagi saya tidak wajar menjadikan ia wajib,” katanya sambil menambah, walaupun kanak-kanak yang diberi vaksin masih boleh sakit.

Suhaimi berkata, mungkin kerajaan boleh menimbang semula cadangan itu dan membolehkan ibu bapa diberi pilihan sama ada mereka mahu memvaksin anak mereka atau memilih rawatan alternatif seperti homeopati.

Bapa kepada 4 anak ini memberitahu, jika kerajaan meneruskan cadangan itu, ia akan menjadi tidak adil kepada kanak-kanak dan ibu bapa mereka kerana kanak-kanak yang tidak divaksin akan ditolak hak untuk mendapatkan pendidikan dan ini akan membebankan kepada ibu bapa kelak.

Tahun lalu, beliau berkata, tidak adil untuk menghukum ibu bapa yang memilih untuk tidak memvaksin anak kerana mereka berhak menentukan cara terbaik melindungi anak masing-masing.

Ketika mengulas langkah Jabatan Kesihatan Perak untuk mengheret ibu bapa yang tidak memvaksin anak ke mahkamah tahun lalu, Suhaimi yang tidak mengambil vaksin untuk anaknya berkata ada cara alternatif menggantikan vaksinasi.

Katanya, hanya kerana ada ibu bapa memilih untuk tidak memvaksin anak, ia tidak bermakna mereka tidak peduli kesihatan anak atau menyerahkan semuanya kepada Tuhan. Ia boleh disebabkan kerana adanya rawatan alternatif.

“Saya hormat pandangan Jabatan Kesihatan Perak, tetapi Kementerian Kesihatan atau Majlis Fatwa Kebangsaan pun tidak menjadikan ia mandatori bagi vaksinasi, sekatan kepada krisis kesihatan,” katanya.

Dua hari lalu, Subramaniam berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk membenarkan kanak-kanak yang divaksinkan sahaja mendaftar di tadika.

Beliau berkata cadangan itu bukan 1 diskriminasi terhadap kanak-kanak yang tidak divaksin, sebaliknya langkah perlindungan terhadap kanak-kanak lain di tadika.

“Ia masih di peringkat kajian. Keputusan akan dibuat selaras dengan penerimaan rakyat Malaysia,” katanya di Parlimen.

Katanya, pendekatan itu turut diamalkan di Australia apabila mewajibkan kanak-kanak yang divaksinkan sahaja boleh mendaftar.

Dr Subramaniam berkata kementerian juga bekerjasama dengan agensi lain dalam menyediakan maklumat tepat mengenai kepentingan suntikan vaksin.

Sementara itu, pakar perubatan, Dr H Krishna Kumar mengakui terdapat beberapa kesan sampingan yang kecil daripada vaksinasi seperti demam atau loya, tetapi tindak balas ini hanya bersifat sementara.

“Tujuan vaksin adalah untuk mewujudkan mekanisme pertahanan untuk melawan penyakit,” kata Krishna, Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Royal College of Obstetricians and Gynaecologists.

Beliau menambah, walaupun ada risiko tindak balas yang lebih serius seperti kejutan anafilaksis dari suntikan tetapi ia sangat jarang berlaku.

“Mungkin hanya 1 daripada 1 juta kanak-kanak yang mempunyai reaksi yang serius.”

Dalam pada itu, pengusaha tadika Wong Keng Shiong berkata beliau mengalu-alukan langkah kerajaan itu kerana vaksinasi membantu melindungi kanak-kanak daripada penyakit.

“Sebagai seorang ibu dan guru, ini adalah keutamaan bagi saya. Kami tidak mahu seorang kanak-kanak menyebarkan penyakit kepada yang lain, jadi saya pasti bersetuju dengan cadangan ini. Kita harus mengikut senarai vaksin kerajaan.”

Keng Shiong, yang tadikanya beroperasi  di Subang Jaya dengan  kira-kira 20 pelajar berkata, dalam kesnya ibu bapa akan memaklumkan kepadanya yang anak-anak mereka telah diberi vaksin.

“Semua pelajar saya telah diberi vaksin. Saya percaya ibu bapa mereka memahami kepentingan vaksin dan apabila mereka memasuki sekolah rendah, mereka juga perlu memberikan butiran mengenai suntikan vaksin yang mereka terima sehingga tidak ada alasan untuk mereka mengelak untuk berbuat demikian.”

Beliau menambah, mendapatkan vaksin wajib sebelum mendaftar di tadika akan meringankan beban guru-guru kerana tidak ada alasan untuk mereka bimbang tentang penyakit boleh disebarkan di tempat belajar.

Di Senawang, Negeri Sembilan, pengendali Tadika Cahaya Inovatif, Mohd Syofie Abdul Rami berkata beliau bersetuju dengan langkah itu tetapi bimbang tidak semua ibu bapa boleh mendapatkan suntikan yang pelbagai jenis.

“Jika kerajaan menjadikan vaksin wajib ia akan menjadi baik kerana memberi manfaat kepada semua orang.

“Tetapi kami mahukan lebih banyak maklumat tentang vaksinasi kerana sesetengah ibu bapa mungkin tidak dapat membelinya. Jika kerajaan menjadikan vaksin wajib, maka ia mesti disubsidi, terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.”

Pada masa ini, Syofie berkata, semasa pendaftaran di tadikanya, ibu bapa perlu memberi butiran tentang jenis vaksinasi diberikan kepada anak-anak mereka, tetapi mereka tidak mempunyai dasar untuk menolak kanak-kanak yang tidak berbuat demikian.

“Bagaimanapun, kami memberitahu ibu bapa bahawa jika anak-anak mereka mempunyai penyakit berjangkit, mereka tidak boleh dibawa ke sekolah. Setakat ini, kami tidak mempunyai sebarang masalah.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/31/tak-adil-hukum-ibu-bapa-enggan-vaksin-anak-kata-penyanyi-nasyid/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/27/hanya-kanak-kanak-divaksin-daftar-tadika-kata-menteri/