Zahid akui masalah dalaman punca BN kalah di Selangor

ahmad-zahid-hamidi-bendera-bn-malaysiaKUALA LANGAT: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah masa terbaik untuk Barisan Nasional dan Umno merampas kembali Selangor, selepas tewas 2 penggal di negeri berkenaan akibat masalah dalaman parti.

“Saya kena akui hakikat permasalahan dalaman menyebabkan kita kecundang 2 kali sebab kita melayan rasa tidak puas hati dalam kalangan kita melebihi rasa mahu kebersamaan kita.

“Era itu telah berlalu…noktah harus diletakkan atas persengketaan dalaman itu.

“Mulai hari ini, kita lupakan titik hitam yang berlaku. Kita letakkan titik merah sebagaimana merahnya kita hari ini,” katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Langat hari ini.

Naib presiden Umno yang menggalas tugas timbalan presiden parti itu berkata, pemimpin BN dan Umno Selangor perlu mengelakkan perbalahan sesama sendiri serta berusaha menangkis tohmahan dan kebencian yang ditanam pembangkang.

Zahid turut menggesa 3 pemimpin tertinggi Umno negeri berusaha sedaya upaya memastikan BN dapat menawan semula Selangor dan kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Langat pada PRU14.

Tiga pemimpin itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar; Timbalannya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Setiausaha, Datuk Johan Abdul Aziz.