Anggota polis ditahan disyaki terima suapan bebaskan tahanan

open-jail

SHAH ALAM: Seorang inspektor polis ditahan Rabu lalu kerana disyaki menerima suapan bagi membebaskan seorang tahanan dalam kes culik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata, anggota berusia 32 tahun itu yang bertugas sebagai pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, kini direman 7 hari yang akan berakhir Rabu depan.

“Pegawai berkenaan ditahan pagi Rabu lalu di tempat kerja beliau oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor. Jumlah suapan masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, tahanan berkenaan terlibat dalam kes penculikan membabitkan seorang pengurus syarikat pengangkutan di Rawang, dekat sini, pada 25 Januari lalu.

Tahanan itu bersama 4 yang lain berjaya ditahan polis dalam beberapa serbuan di Rawang dan Lembah Klang pada keesokannya dan polis menemui wang tebusan dibayar keluarga mangsa.