Anwar: Dr M perlu diberi ruang bantu Pakatan capai objektif

anwar-mahathirPETALING JAYA: Dalam usaha meredakan kesangsian beberapa pihak berhubung kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, bekas perdana menteri itu perlu diberi ruang untuk membantu memperluas jaringan gerakan rakyat.

Kata Anwar, beliau berpandangan kehadiran Dr Mahathir dan PPBM adalah dalam kerangka memperluas jaringan dukungan kepada agenda perjuangan yang lebih disepakati.

“Secara peribadi saya alukan kesediaan Tun (Dr Mahathir) untuk turun mengharungi perjuangan bersama. Keperitan peribadi dan luka yang dialami adalah kecil berbanding dengan kepentingan rakyat dan masa depan negara.

“Tun kini terpaksa bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas bertindak aktif dan berani. Beliau harus diberikan ruang untuk membantu memperluas jaringan gerakan rakyat,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Beliau yang merupakan ketua umum PH berkata, struktur pakatan pembangkang itu tidak boleh disamakan dengan Barisan Nasional (BN).

“PH adalah wadah demokratik, memimpin bersama dalam pasukan ketua-ketua parti. Kekhuatiran yang disuarakan mengenai kemungkinan seorang pengerusi parti mengelencong dari hala tuju yang disepakati tidak mungkin dalam struktur yang wujud.

“Dasar bersama yang dipersetujui telah didedah kepada khalayak secara telus. Ia adalah agenda rakyat yang diusung oleh PH,” kata beliau sambil menambah, “kita perhatikan saja prestasi negeri Selangor dan Pulau Pinang serta wewenang yang diberikan kepada pimpinan negeri.”

Katanya, aspek yang tidak mampu disangkal adalah kejayaan program kepedulian rakyat walaupun kuasa negeri terbatas.

Dalam barisan kepimpinan PH, Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presidennya.

Kesangsian itu ditimbulkan atas alasan Dr Mahathir yang memecat Anwar pada 1998 pernah dilabel sebagai menentang gerakan reformasi.

Media baru-baru ini melaporkan penyokong-penyokong tegar Anwar merasa mereka dikhianati dan Setiausaha Otai Reformasi Razak Ismail mengancam untuk

Misalnya, Saari Sungib, yang mengetuai kumpulan aktivis reformasi Otai Reformis mengesahkan sudah melepaskan jawatan sebagai pengerusi kumpulan aktivis 90-an itu, selepas sebahagian ahli kumpulan reformasi 90-an itu membantah pelantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Harapan.

“Ahli-ahli Otai Reformis ada macam-macam sentimen terhadap Dr Mahathir. Ada yang tolak habis dan ada yang masih bertimbang rasa penyertaan Dr Mahathir dalam PH.”

Menurut Saari, Otai Reformis dalam mesyuarat minggu lalu menolak kepimpinan Dr Mahathir di peringkat gabungan pembangkang, atau sebagai menteri atau penasihat kerajaan sekiranya PH mentadbir kerajaan.

“Kita menuntut PH untuk memasukkan dalam manifesto PRU14 PH penubuhan Suruhanjaya Keamanan dan Keadilan bagi mengadili segala tuduhan ke atas Dr Mahathir.

“Kita juga bersetuju agar mana-mana ahli Otai Reformis yang mempunyai jawatan dalam mana-mana parti PH untuk melepaskan jawatan yang disandang dalam gerakan Otai Reformis,” katanya.

Kata Anwar, beliau hargai teguran rakan-rakan dan menggesa pimpinan PH berlapang dada berunding dan menjelaskan kedudukan sebenarnya.

“Kerana sesungguhnya, politik baru yang dijana PH tidak membatasi kuasa kepada beberapa kerat pimpinan atau elit tetapi mengambil kira rintihan, denyut nadi rakyat.

“Pada asasnya, PH adalah sebahagian utama dari gerakan rakyat. Malah dalam kerangka dasar Pakatan Rakyat sebelumnya – dasar bersama, manifesto dan belanjawan alternatif dilakar dan diolah setelah menimba pandangan rakan-rakan NGO, aktivis termasuk Bersih,” kata beliau.

Anwar yakin PH akan lebih kukuh dengan memberi ruang wacana segar, menghimpun semua tenaga progresif rakyat dengan hasrat mendamba kebebasan dan keadilan.

Anwar berkata, rakan-rakan NGO dan aktivis berhak untuk terus memantau perjalanan dan prestasi PH dan menegur atau mengemukakan cadangan.

“Saya tetap berkeyakinan akan peranan mereka terus menunjangi perubahan menjelang PRU14. Sistem pilihan raya yang tempang dan kecoh perlu diluruskan.

“Kesedaran dan kebangkitan rakyat yang resah dengan tekanan hidup dan merebaknya budaya rasuah tidak mungkin dibendung melainkan dengan tipu-helah perjalanan pilihanraya.

“Percubaan kerajaan khususnya peguam negara melindungi penjenayah skandal 1MDB tidak menghalang 7 negara meneruskan siasatan yang mereka sebut sebagai penipuan, rasuah, rompakan harta khazanah negara,” katanya.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara berkata, menjelang PRU14 Umno-BN seperti lazimnya akan mengerah jentera kerajaan, media milik mereka bersama saudagar kaya mengupah pekerja politik dan mengugut rakyat.

“PH dan rakan-rakan dalam gerakan rakyat perlu bangkit sebagai kekuatan raksasa, menggalas amanah menyelamatkan bangsa dan negara Malaysia tercinta,” katanya.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/24/otai-reformis-tolak-dr-mahathir-saari-sungib-lepas-jawatan-pengerusi/