BN Perak sudah serah calon PRU14 kepada Najib

zambry-perak-bn

GERIK: Senarai calon Barisan Nasional (BN) Perak bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata senarai tersebut membabitkan wakil rakyat sedia ada dan calon yang berpotensi serta disukai rakyat untuk bertanding.

“Saya sudah menyerahkan senarai nama calon berkenaan untuk pertimbangan perdana menteri setelah diminta berbuat demikian berdasarkan kriteria yang telah dipakai pada pilihan raya kecil yang lalu dan pilihan raya umum di Sarawak.

“Antara kriteria berkenaan yang diumumkan presiden parti ialah kita akan melihat kesesuaian calon yang berada di kawasan berkenaan sama ada calon itu memberikan sumbangan kepada rakyat untuk dipilih mewakili BN pada PRU akan datang,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Gerik di Dewan Serbaguna Gerik di sini hari ini.

Zambry yang juga menteri besar Perak berkata pemilihan calon berkenaan tidak diketahui oleh mana-mana calon kerana apa yang penting calon berkenaan mampu memberikan sumbangan terbaik terhadap rakyat.

Menurutnya lagi, BN Perak tidak akan mengamalkan politik menakut-nakutkan rakyat kerana ia boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam kalangan rakyat.

“Kita memberi perhatian kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan serta kemudahan kepada rakyat.

Sebagai parti yang bertanggungjawab dan memerintah, kita tidak akan menimbulkan sesuatu perkara yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam kalangan rakyat,” katanya.