Jangan abai amaran saya, KP SPRM nasihat parti politik

dzul

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad memberi amaran kepada parti-parti politik jangan mengabaikan amaran beliau dengan memilih mereka yang ada isu rasuah sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dzulkifli yang genap setahun mengetuai SPRM Selasa ini berkata, beliau suka menasihatkan semua parti-parti politik agar memilih calon-calon pilihan raya yang benar-benar bersih dan tidak dicemari dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.

“Jika berdegil juga, kesannya pasti pahit untuk ditelan. Saya belum lagi memungkiri janji saya. Jika tidak percaya, saya persilakan mana-mana parti politik untuk mengabaikan amaran saya ini,” kata beliau dalam wawancara khas kepada akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau yang dilantik menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada 1 Ogos lalu ditanya sejauhmanakah SPRM benar-benar berupaya memastikan parti-parti politik meletakkan calon-calon yang benar-benar bersih dalam pilihan raya umum akan datang dan sejauh mana pula keberanian SPRM untuk bertindak selepas pilihan raya jika calon yang tidak bersih menang.

Katanya, beliau pernah menyatakan SPRM akan mengambil tindakan agresif terhadap ahli-ahli politik yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa hanya selepas berakhirnya pilihan raya.

“Saya menegaskan demikian kerana saya enggan SPRM tersepit di tengah-tengah keghairahan kempen politik.Saya sama sekali tidak akan membenarkan SPRM dipergunakan dan diperdagangkan sebagai modal politik,” kata beliau.

Bagaimanapun kata Dzulkifli, beliau juga telah menyatakan bahawa apabila selesai sahaja pilihan raya maka SPRM akan mula mengorak langkah dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Mana-mana ahli politik yang terlibat dengan jenayah rasuah dan salah guna kuasa akan diambil tindakan tanpa kompromi.”

Dzulkifli sebelum ini berhadapan dengan persoalan sesetengah pihak yang bertanya kenapa tindakan ke atas ahli-ahli politik hanya mahu dilakukan selepas PRU14 sedangkan pada pandangan mereka kalau sudah ada bukti SPRM patut bertindak sekarang.

Sebelum ini beliau pernah berkata SPRM tidak memberi tumpuan ke atas ahli-ahli politik buat masa sekarang kerana “tidak mahu SPRM diheret ke kancah politik” khususnya menjelang PRU14.

Katanya, beliau telah membuat ketetapan tidak akan bertindak sekarang terhadap ahli-ahli politik kerana tidak mahu SPRM dijadikan alat dan modal untuk berkempen oleh mana-mana parti politik.

“Ini kerana kita semua tahu jika SPRM mengambil tindakan terhadap ahli-ahli politik sebelum pilihan raya sekali pun, ia tetap tidak akan menjadi penghalang kepada mereka untuk terus bertanding dan memegang jawatan.

“Jadi biarlah parti-parti politik ini bertanding di atas keupayaan mereka dengan adil dan berdasarkan ‘track record’ mereka berkhidmat kepada rakyat,” kata beliau.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/21/kp-sprm-kenapa-kami-tak-tangkap-ahli-politik-sekarang/