Kit Siang: Haram buku G25 perluas ‘sayap’ PAS dalam dasar Najib

kit-siang-g25

PETALING JAYA: Pengharaman buku dikarang G25, sebuah kumpulan 25 tokoh Melayu, menunjukkan Datuk Seri Najib Razak terpisah dari pendekatan kepimpinan yang pernah dipraktikkan 5 perdana menteri sebelum ini, kata Lim Kit Siang hari ini.

Malah, menurut pemimpin veteran DAP itu, pengharaman tersebut juga menunjukkan kepimpinan Najib memberi ruang kepada peningkatan pengaruh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap dasar-dasar kerajaan.

“Pengharaman buku G25 mengenai ‘Breaking the Silence –Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy’ sebenarnya menunjukkan Najib sudah memutuskan (dirinya) dari pendekatan 5 perdana menteri sebelum ini – berkenaan dengan (semangat) pembinaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963.”

Kit Siang yang Ketua DAP di Parlimen berkata, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga ada menulis kata pengantar buku tersebut di mana beliau mengesahkan permintaan G25 kepada Najib supaya menggunakan kepimpinan beliau dan memperlihatkan iltizam politik bagi mengadakan sebuah jawatankuasa perundingan inklusif untuk mencari penyelesaian ke atas masalah yang telah lama wujud.

Malah katanya, harapan Abdullah agar input buku itu akan menggalakkan dialog bermaklumat dan rasional mengenai cara Islam digunakan sebagai sumber undang-undang dan dasar awam dalam persekitaran pelbagai kaum dan agama Malaysia terbukti sia-sia kerana seluruh kandungan buku diharamkan tanpa dihuraikan sebab larangan yang tidak masuk akal.

“Pengharaman buku G25 adalah 2 kali tidak masuk akal apabila perdana menteri sendiri yang melancarkan inisiatif antarabangsa, Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).

“Apakah pendirian GMM mengenai (tindakan) mengharamkan buku G25? Adakah GMM dirunding sebelum ia diharamkan?” soal beliau.

Sebelum ini, Dr Chandra Muzaffar, salah seorang penyumbang kepada buku itu menyifatkan pengharaman buku berkenaan yang bertujuan untuk melawan pandangan agama yang melampau dan sempit bukti kerajaan khuatir akan tafsiran agama yang berbeza dan sederhana.

Chandra, yang juga pengerusi Yayasan 1Malaysia, menyifatkan langkah itu sebagai “tidak munasabah.”

“Ia himpunan esei yang bertujuan untuk menunjukkan pemikiran pelampau dan sempit dalam hal berkaitan amalan Islam di negara ini perlu dibanteras secara intelektual.

“Itu tujuan buku itu, dan untuk menunjukkan usaha pelampau mentafsirkan Islam dengan cara yang sesuai dengan kepentingan kumpulan tertentu,” katanya kepada FMT.

Chandra berkata buku itu sebenarnya mendukung prinsip asas Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah undang-undang di Universiti Malaya Azmi Sharom menyatakan pandangan yang sama, memberitahu FMT buku itu tidak bertujuan untuk mencetuskan masalah.

Beliau berkata buku itu “penulisan yang berhati-hati” dan menawarkan pandangan berbeza terhadap naratif semasa mengenai agama, terutamanya Islam, di Malaysia.

Pengharaman buku itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini), dan ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 14 Jun.

Pengharaman itu diwartakan sebagai undang-undang semalam dan boleh dilihat di e-Warta Persekutuan Jabatan Peguam Negara.

Buku itu pertama kali diterbitkan Marshall Cavendish pada Disember 2015, membincangkan impak birokrasi Islam di Malaysia dan ketekalannya dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga menyentuh dimensi sosiopolitik dan implikasi budaya-ekonomi ke atas masyarakat Malaysia.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/27/g25-bidas-kerajaan-haramkan-bukunya/