Kit Siang tak mampu kalahkan Najib sendiri, kata Salleh

salleh-kit-siang

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak mampu mengalahkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bersendirian, oleh itu dia memerlukan bekas pemimpin Umno untuk mengajarnya, kata Bendaharinya, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh yang juga menteri komunikasi dan multimedia berkata, apa yang paling ditakuti Lim ialah Najib terbukti seorang pakar strategi lebih baik dan dapat membaca semua langkah politiknya.

Beliau berkata, Lim sekarang sedar Najib secara bijak bertindak terlebih dahulu dan mematahkan semua langkah.

“Kit Siang yang berada dalam keadaan panik, bukan Najib kerana tembelang sebenarnya terdedah dan dilucutkan untuk semua orang mengetahuinya,” kata Salleh dalam blog terbaharu beliau bertajuk “Lim Kit Siang dalam keadaan panik, bukan Najib” hari ini.

Beliau berkata, penipuan Lim semakin jelas sekarang.

“(Ia) adalah sangat jelas dia memberitahu khalayak umum Pakatan Harapan diketuai DAP, sedangkan pada khalayak umum yang lain, dia memberitahu Pribumi (PPBM) dan PKR memimpin Pakatan Harapan.”

Salleh berkata, Lim berpendapat percaturan Ali Baba boleh diguna pakai dalam politik kerana ia sudah dilaksanakan dalam perniagaan.

“Dan di sinilah Kit Siang memperkecilkan orang Melayu kerana mereka akhirnya akan menolak Pakatan Ali Baba, walaupun jika dia meletakkan semua bekas pemimpin Umno di muka depan sebagai wajah Melayu Pakatan Harapan,” kata Salleh.