MEF nasihat Razak Baginda cermat, elak kenyataan sensitif kaum

Shamsuddin-Bardan-Abdul-Razak-Baginda2PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menafikan dakwaan Abdul Razak Baginda kononnya dunia korporat Malaysia ‘berwajah’ perkauman dengan tenaga kerja mereka terdiri daripada kaum-kaum tertentu.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, membuat kenyataan seumpama itu berpotensi mencetuskan ketidakharmonian kaum di negara ini.

Baru-baru ini, Razak yang merupakan presiden Pusat Hal Ehwal Global (Icon) Malaysia mendakwa dunia korporat Malaysia terbahagi mengikut kaum walaupun beliau mengakui masih ada syarikat asing yang mencari pekerja.

Razak berkata belia tempatan, sekiranya mendapati tidak ada lagi peluang di negara ini, boleh berhijrah ke negara lain.

Menurutnya, mereka perlu terlebih dulu mengkaji apakah benar Malaysia ketandusan peluang untuk masa depan mereka. Tetapi Razak mengakui sektor korporat Malaysia masih diselubungi garis perkauman.

“Di kalangan syarikat yang disenaraikan awam, hanya 1 kaum dari peringkat tertinggi hingga pertengahan. Satu lagi kaum sekadar menjadi drebar dan budak ‘despatch’.

“Dan syarikat berkait kerajaan pula hanya 1 kaum,” kata Razak.

Bercakap kepada FMT, Shamsuddin mendakwa kenyataan seperti itu jika disalah erti mungkin berpotensi membahayakan negara.

“Saya akan kata, kita perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan sedemikian kerana jika diambil dari sudut yang berbeza, ia boleh mewujudkan ketegangan kaum dan ketidakharmonian, yang saya rasa tidak baik untuk masa depan negara,” kata beliau.

Menurut beliau, apa yang dikatakan Razak itu tidak benar kerana apa yang paling penting bagi majikan adalah keperluan syarikat masing-masing.

“Razak jelas stereotaip. Majikan di Malaysia tidak mendasarkan pekerjaan ke atas kaum. Kami sangat bergantung pada bakat yang ada dan keperluan syarikat.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/28/sistem-pendidikan-malaysia-hasilkan-generasi-kerbau-kata-razak-baginda/