PKR nasihat Zahid hormati mahkamah adili isu status anak luar nikah

zahid-gavelPETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa agar menghormati proses kehakiman negara tanpa membuat kenyataan kritikal terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengenai isu menamakan anak-anak Muslim luar nikah.

Anggota jawatankuasa pusat PKR, Latheefa Koya berkata, mahkamah harus dibolehkan memutuskan perkara itu dengan adil berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan tanpa apa jua pendirian kerajaan mengenai isu terbabit.

“Saya tidak pernah jumpa seorang timbalan perdana menteri memperlihatkan rasa tidak hormat terhadap proses kehakiman,” kata beliau.

“Sudah jelas Zahid cuba menjadikan modal politik daripada kes ini, dengan pilihan raya umum semakin dekat. Ia sangat tidak adil kerana ini melibatkan kehidupan dan masa depan kanak-kanak yang tidak bersalah,” kata beliau menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam, Zahid yang juga menteri dalam negeri dipetik Bernama berkata, beliau bersetuju dengan tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang melalui Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap kes anak tidak sah taraf orang Islam ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, pada masa ini, JPN menjalankan tugasnya selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang tidak membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan dengan nama lelaki yang mengaku bapa mereka.

“Kita tahu hukum tetap hukum. Kementerian Dalam Negeri khususnya JPN patuh kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Oleh itu, kita merayu semula kepada mahkamah lebih tinggi agar keputusan itu (Mahkamh Rayuan) dibatalkan kerana anak sah taraf sahaja yang dibolehkan dibinkan dengan bapanya.

“Namun, dalam keadaan ini, kita menghormati anak itu yang dilahirkan tidak berdosa. Anak-anak dilahirkan seperti kain putih ibu bapanya yang mencoraknya dengan pelbagai warna,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, umat Islam perlu bersatu memastikan mana-mana keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak dicabar pihak atau sistem perundangan lain.

Khamis lalu, Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya membenarkan rayuan dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa ketua pengarah JPN menggantikan nama anak mereka berbin atau berbinti Abdullah dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Hari keesokan, Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli dilaporkan berkata, sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh dan sebarang tindakan JPN sekarang selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Latheefa juga berkata, keputusan itu mengikat secara sah JPN dan kerajaan sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusannya kelak.

Oleh itu kata beliau, Zahid sepatutnya tahu yang JPN sedang merayu dan kenyataannya mempunyai kesan dengan meletakkan tekanan tidak wajar ke atas Mahkamah Persekutuan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/29/zahid-setuju-jpn-fail-rayuan-isu-bin-abdullah/