Zahid ingatkan ahli Umno jangan jadi ketam dalam bakul

zahid-umno-1

PETALING JAYA: Ahli Umno diingatkan tidak menjadi seperti “ketam di dalam bakul” yang cuba melepaskan atau menaikkan diri masing-masing dengan memijak orang lain, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden parti itu sebaliknya meminta ahli parti bersikap seperti semut yang sentiasa “bersalam” dengan rakannya apabila bersua.

“Masalah kita ini, semangat macam ketam dalam bakul, ketam punya perangai apabila dalam bakul dia pijak sesama sendiri sebab dia nak keluar daripada bakul dan selamatkan diri dia atau menonjolkan dirinya.

“Tetapi akhirnya kerana terpijak sesama sendiri, semua ketam itu mati, sedangkan sepatutnya ada seekor ketam yang boleh keluar dan mendapatkan bantuan untuk menjatuhkan bakul itu agar semua ketam tadi dapat keluar,” katanya berucap menutup persidangan perwakilan Umno Bahagian Kelana Jaya hari ini.

Zahid berkata, beliau membuat kiasan itu untuk mengingatkan ahli Umno yang masalah itu berlaku dalam parti, termasuk di Selangor.

Beliau berharap semua pimpinan di peringkat negeri dapat bersatu demi merampas semula Selangor daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

“Telitilah dalam-dalam kiasan atau ibarat yang saya sebutkan tadi, mudah-mudahan kita dapat terjemahkan semangat kebersamaan dan kekitaan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid menegaskan usaha mendapatkan sokongan pengundi di kawasan bandar, terutama di Selangor memerlukan pendekatan baharu menerusi teknologi media sosial.

“Kita di Kelana Jaya kalau mahu menang kena guna teknologi dan media sosial sebab orang di bandar suka diketuk hatinya dan mindanya menerusi komunikasi media sosial, bukan diketuk rumahnya kerana itu akan mengganggu privasinya,” katanya.

Zahid turut meminta ahli Umno di negeri itu sentiasa bersedia menghadapi serangan pembangkang, selain serangan daripada musuh yang berada dalam Umno sendiri.

Katanya, serangan dari dalam itu boleh berlaku apabila ada individu yang tidak berpuas hati kerana tidak memperoleh apa yang dihajatkan seperti menjadi calon pilihan raya.

“Musuh luar kita kenal, musuh yang menyerang kita kenal, serangan mereka dalam pelbagai isu, itu biasa kerana ia lumrah politik.

“Tetapi yang menyakitkan ialah kawan-kawan yang menjadi musuh dari dalam, terutamanya apabila dia mahu jadi calon tidak dapat dan ‘frust’ dan mulalah dia cucuk sana cucuk sini, sabotaj sana sini,” katanya.

Pada majlis itu, Zahid turut mengumumkan peruntukan RM400,000 bagi membaik pulih dan menaik taraf Dewan Budiman Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway di sini.