Amanah Raya: RM315 juta harta tidak dituntut pewaris

Adenan-Md-Yusof-amanah-raya-berhad-wang-ringgitPETALING JAYA: Amanah Raya Berhad masih menunggu pewaris menyelesaikan 29,000 kes harta tidak dituntut atau lebih dikenali sebagai wang menunggu dituntut (WMD) yang berjumlah RM315 juta.

Pengarah Urusannya, Adenan Md Yusof dipetik Sin Chew Daily berkata, antara faktor menyebabkan jumlah WMD semakin meningkat ialah pewaris gagal dikesan akibat maklumat tidak lengkap, khasnya alamat dan nombor telefon pewaris.

Bagi menyelesaikan masalah itu, katanya, selain melalui media massa, Amanah Raya menubuhkan sebuah pasukan kecil yang berusaha mengesan pewaris melalui Jabatan Pendaftaran Negara.

Faktor lain ialah perebutan harta antara pewaris yang dibawa ke mahkamah dan pewaris enggan menuntut harta kerana jumlahnya terlalu sedikit.

“Keadaan ini ada kaitan dengan bayaran dikenakan Amanah Raya. Contohnya jika harta tidak melebihi RM600,000 (seperti simpanan bank), kami akan mengenakan bayaran 5% untuk RM25,000 pertama, 4% untuk RM225,000 seterusnya dan kadar itu berkurangan sehingga 1% berdasarkan jumlah harta. Mereka juga perlu membayar tambahan 6% cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Jika seorang pelanggan meninggalkan RM10,000 simpanan dalam bank, Amanah Raya akan mengenakan bayaran 5% atau RM500 dan 6% atau RM30 GST, jadi jumlah wang yang boleh dituntut pewaris ialah RM9,470.”

Adenan berkata, ini bermakna semakin banyak harta yang ditinggalkan pelanggan, jumlah bayaran yang dikenakan semakin tinggi.

Beliau berkata, jika pelanggan tidak meninggalkan wasiat, jumlah harta yang ditinggal mereka akan dibahagikan antara ibu bapa, pasangan dan anak mereka.

“Jika ibu bapa sudah tiada, maka pasangan mereka akan mendapat satu pertiga daripada harta itu dan baki dua pertiga dibahagikan sama rata antara anak-anaknya.

“Jika ibu bapa pelanggan masih ada, satu perempat daripada hartanya akan diberikan kepada ibu bapanya, satu perempat lagi untuk pasangannya dan baki separuh lagi dibahagikan sama rata antara anak-anaknya.”

Beliau berkata, WMD tidak sama dengan wang tak dituntut (WTD) berjumlah RM5.779 bilion yang masih berada dalam simpanan Bahagian WTD, Jabatan Akauntan Negara kerana WMD ialah harta persendirian yang tidak akan disita.

Katanya, kebaikan WMD ialah pewaris yang menuntut harta itu selepas bertahun-tahun pelanggannya meninggal dunia, akan mendapat kadar faedah tertentu berdasarkan jumlah harta itu.

Adenan berkata, jumlah WMD meningkat daripada RM292 juta pada Oktober 2016 kepada RM315 juta setakat 30 Jun lalu.