Apa tugas Hishammuddin sebagai menteri khas, soal DAP

Ng-Wei-Aik-hishamuddin-malaysiaKUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen DAP hari ini mempersoalkan kerajaan yang tidak mahu menjelaskan secara terperinci tugas Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas, dengan berkata pelantikan itu juga tidak diwartakan di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik dalam soalan bertulis meminta perdana menteri memberikan butiran tugas, skop kerja, tanggungjawab dan bidang kuasa serta peranan Hishammuddin, yang juga menteri pertahanan, sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said tidak memberikan jawapan yang dikehendaki.

“Untuk makluman ahli yang berhormat, peranan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas adalah seperti mana yang dipertanggungjawabkan kepada beliau oleh perdana menteri dari masa ke semasa selain sebagai menteri di Kementerian Pertahanan,” kata Azalina dalam jawapan bertulis.

Bercakap kepada wartawan selepas itu, Ng berkata semakannya mendapati tiada sebarang warta dibuat, malah tugas, skop kerja, tanggungjawab dan bidang kuasa Hishammuddin juga tidak disebut.

“Warta terakhir berkenaan dengan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan adalah bernombor P.U. (A) 228 dibuat ketua setiausaha negara selaku setiausaha kabinet pada 23 Ogos 2016 berkenaan rombakan kabinet pada 27 Jun 2016.

“Jika tiada warta disiarkan berkenaan dengan perintah ke atas pelantikan Hishammuddin sebagai menteri tugas-tugas khas, adakah pelantikannya melanggari Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969,” soalnya.

Ng mempertikaikan sama ada Hishammuddin dibawa masuk untuk memenuhi agenda Datuk Seri Najib Razak.

“Apa masalah Najib sehingga tugas dan tanggungjawab Hishammuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas tidak boleh diterangkan secara terbuka?

“Jikalau perlantikan Hishammuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas sekadar untuk tujuan politik peribadi, tidak perlulah wang rakyat dibazirkan dengan begitu sahaja,” katanya.

Pelantikan Hishammuddin pada 12 April diumumkan Najib.

Jawatan seperti itu pernah beberapa kali diwujudkan, termasuk pada 1998, ketika bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin yang sudah pun bersara, dibawa masuk ke dalam kabinet oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Alasan ketika itu ialah bagi membantu menangani krisis ekonomi paling buruk yang dihadapi Malaysia ketika itu. Tiga bulan kemudian, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, mencetuskan krisis politik terburuk dalam sejarah Malaysia.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/12/hishammudin-dilantik-sebagai-menteri-dengan-tugas-tugas-khas/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/12/menteri-tugas-khas-batu-loncatan-hishammuddin-ganti-zahid/