Azalina: Mahkamah khas kanak-kanak sudah selesai 11 kes

Azalina-chil

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 kes daripada 62 kes yang didaftarkan di Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak di Putrajaya sejak ia beroperasi 4 Julai lepas sudah diselesaikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata daripada jumlah itu, 25 kes dalam sebutan dan 26 kes lagi masih dalam perbicaraan.

”Kes-kes yang didaftarkan di bawah Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak akan diselesaikan atau dilupuskan dalam tempoh 1 tahun dari tarikh ia didaftarkan di mahkamah tersebut,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini,

Azalina berkata kerajaan bercadang untuk memperluas kewujudan mahkamah khas bagi mengendalikan prosiding jenayah seksual melibatkan kanak-kanak ke seluruh negara secara berperingkat.

Pada masa ini, Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak pertama yang ditubuhkan di Malaysia dan di Asia Tenggara itu mendengar dan memutuskan kes-kes yang berlaku di daerah Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Mengenai kemudahan di mahkamah itu, Azalina berkata ia dilengkapi dengan prasarana khusus seperti ‘Court Recording Transcription (CRT)’, sistem audio visual dan bilik saksi kanak-kanak serta bilik menunggu saksi kanak-kanak (Bilik Permata).

“Prasarana khusus ini amat penting demi membantu prosiding perbicaraan di mahkamah khas tersebut agar dapat memastikan perbicaraan dan pendengaran kes dijalankan dengan cepat dan berkesan.

“Sistem audio visual itu membolehkan saksi kanak-kanak lebih selesa untuk memberi keterangan di luar mahkamah terbuka dalam bilik yang berasingan serta membantu pihak pendakwa raya dan peguam untuk mengendalikan prosiding mahkamah,” katanya.

Prasarana dan kemudahan khas di bilik saksi kanak-kanak dan bilik menunggu saksi kanak-kanak yang dibiayai oleh Yayasan Permata merupakan bilik saksi yang bersifat mesra kanak-kanak dan membolehkan saksi serta mangsa kanak-kanak yang hadir perbicaraan di mahkamah tidak berasa gementar.

Azalina berkata satu jawatankuasa kerja yang dianggotai antaranya polis, Jabatan Peguam Negara; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta badan bukan kerajaan berkaitan kanak-kanak, akan ditubuhkan bagi merangka garis panduan khas yang komprehensif untuk mengendali kes-kes kesalahan seksual yang melibatkan kanak-kanak.