Bagaimana anda bayar anugerah EBA, soal Umno

Muhammad-Farid-Saad-1GEORGE TOWN: Seorang wakil rakyat Umno hari ini menggesa Setiausaha Politik Ketua Menteri Wong Hon Wai memberitahu warga Pulau Pinang bagaimana pihak berkuasa tempatan membayar untuk menyertai program anugerah yang dianjurkan sebuah badan United Kingdom yang meragukan.

Gesaan itu dibuat selepas seorang pegawai PBT mendakwa hampir RM40,000 dibayar kepada penganjur anugerah itu sebagai yuran penyertaan, tetapi bukan dari wang pembayar cukai.

Adun Pulau Betong Datuk Muhammad Farid Saad berkata beliau rasa bertanggungjawab untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada kerajaan negeri yang diterajui DAP.

“Isu ini dibangkitkan oleh akhbar Cina. Kami meneliti (PBT) untuk mencari kebenaran sama ada ia melibatkan wang pembayar cukai, yang akhirnya datang dari rakyat Pulau Pinang.

“… mengenai agensi persekutuan dan universiti awam yang didakwa menerima anugerah itu pula, saya cadangkan Wong supaya menanya soalan ini terus kepada pihak yang terlibat.

“Wong tidak perlu tanya kepada saya, tetapi tanya akhbar yang memberi liputan kepada isu ini. Sebagai wakil rakyat, saya mewakili kepentingan rakyat Pulau Pinang dan saya perlu mendapatkan penjelasan dari kerajaan negeri,” kata Farid dalam kenyataan.

Beliau merujuk kepada kenyataan Wong sebelum ini yang meminta Farid dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman mendapatkan penjelasan daripada agensi persekutuan yang juga menerima anugerah daripada Europe Business Assembly (EBA).

Wong berkata PBT di Pulau Pinang sudah memohon maaf dan menjelaskan isu itu, maka serangan Umno tidak lagi perlu.

Guang Ming Daily merupakan akhbar yang pertama yang menonjolkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) menerima anugerah dari EBA.

Zainal berkata walaupun Datuk Bandar mengaku “bayaran sudah dibayar”, namun ia jelas menunjukkan PBT mengambil wang dari dana mereka sendiri untuk menyertai program anugerah itu.

Berdasarkan laporan berita tempatan, pemenang anugerah EBA yang lepas termasuk 3 universiti awam Malaysia: Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) and Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

The Times melaporkan EBA mengiklankan dirinya sebagai sebuah institusi Oxford untuk menjual “hadiah palsu” seperti “Anugerah Socrates Antarabangsa” dan “Anugerah Peringatan Permaisuri Victoria” sehingga £9,300 (RM52,000).

Laporan itu mendakwa EBA dikendalikan ahli perniagaan Ukraine yang menyasarkan syarikat dan pertubuhan di negara membangun dengan menjaja nama Universiti Oxford.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/26/kerajaan-pulau-pinang-kesal-terima-anugerah-palsu/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/29/anugerah-palsu-datuk-bandar-akui-2-pbt-bayar-rm39088-kepada-eba/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/30/anugerah-palsu-penafian-datuk-bandar-pelik-dan-janggal-kata-umno/