Bin Abdullah: Kumpulan ‘Taliban’ buli manusia kerdil, kata Zaid
Zaid membidas kumpulan yang mempersoalkan penghakiman Mahkamah Rayuan sedangkan ia memberikan hak dan perlindungan kepada anak yang tidak berdosa.
PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim hari ini membidas pihak yang mempertikaikan penghakiman Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang membenarkan anak luar nikah dibinkan dengan nama bapa kandung mereka, dengan meyifatkan mereka “kumpulan Taliban” yang sombong dan suka membuli golongan lemah termasuk anak yang tidak bersalah.
“Kumpulan Taliban ini hanya mahu pelaksanaan fatwa terhadap manusia kerdil. Ada fatwa mengenai casino di Genting? Ada fatwa mengenai 1MDB? Ada fatwa melarang penggunaan harta kerajaan untuk hal-hal peribadi pemimpin?” soal bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam penulisan terkini blognya.
“Memang tak ada. Soal ‘bin Abdullah’ lebih penting bagi mereka,” kata Zaid.
Beliau merujuk keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk terus membinkan anak “tidak sama taraf” dengan “bin Abdullah”, walaupun Mahkamah Rayuan berkata amalan itu bukan sahaja melanggar Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 tetapi juga mengaibkan anak luar nikah.
Dalam penghakiman 25 Julai lalu, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim dalam rayuan pasangan mencabar tindakan JPN tidak membinkan anak mereka dengan nama bapa, berkata jabatan itu bertindak di luar kuasanya dengan menggunakan “bin Abdullah” untuk mendaftarkan kanak-kanak itu.
“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah.”
Bagaimanapun, Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya akan terus meletakkan bin atau binti “Abdullah: untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes itu dimuktamadkan Mahkamah Persekutuan, mengundang kritikan beberapa peguam.
Pendirian JPN itu turut disokong Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menggesa umat Islam bersatu menyokong pihak berkuasa agama dan supaya fatwa dijadikan landasan dalam pendaftaran anak.
Bagaimanapun, Zaid berkata fatwa yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu itu tidak dipersetujui semua negeri, memberi contoh fatwa di Perlis pada Januari 2013, yang membenarkan anak yang lahir kurang daripada 6 bulan setelah pernikahan ibu bapanya dibenarkan mengambil nama bapa.
“Malangnya kumpulan Taliban di Malaysia bagitu marah sekali dengan keputusan Mahkamah sivil itu. Mereka berkata fatwa mesti diutamakan. Inilah sikap sombong yang salah. Yang perlu diutamakan ialah keadilan kepada anak dan ibubapa yang terlibat.
“Apakah kumpulan Taliban ini juga bersetuju dengan fatwa tersebut jika mereka sendiri merupakan anak luar nikah? Sudah tentunya tidak!” kata Zaid.
Zaid berkata sikap mereka “yang tidak mempunyai sifat pemaaf dan belas kasihan” menjadikan mereka tidak layak memperjuangkan Islam.
“Kalau untuk penjaja kecil, mesti buka kedai jam 3 petang di bulan puasa, tapi kalau towkay gedung besar dan supermarket tak payah. Kalau penjaja pasar malam, mesti tutup semasa maghrib, tapi penjual kedai besar tidak perlu berbuat demikian.
“Kalau anak dan bapa disatukan supaya kesilapan silam dilupakan, mereka marah dan tidak bersetuju, tapi mereka tutup mata kapada dosa yang lebih besar,” tambahnya.
Isu ‘bin Abdullah’: Menteri, ketua jabatan perlu hormat keputusan mahkamah
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram