Bos AirAsia saran pengendali baru kendali lapangan terbang

Tony-Fernandes-mahbPETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menyarankan pengendali baharu untuk lapangan terbang yang beroperasi di Malaysia, bukan hanya bergantung pada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Fernandes di Facebook hari ini terkilan dengan langkah MAHB yang lebih berminat dengan terminal lapangan terbang perkhidmatan penuh dan menutup terminal penerbangan murah (LCCT) di Kota Kinabalu, Sabah 2 tahun lalu.

Beliau berkata pelancongan di Sabah berkempang pesat kerana peranan AirAsia di negeri itu, tetapi pertumbuhan merosot selepas LCCT ditutup.

“Apa yang AirAsia lakukan di Sabah menakjubkan. Pelancongan berkembang pesat. Semua pihak yang berkaitan dengan pelancongan di Sabah mengekaui AirAsia yang melakukannya,” tulis Fernandes.

“Kini perkembangannya merudum selepas Malaysia Airports menutup LCCT tersebut.

“LCCT diperlukan di Sabah. Pengendali lapangan terbang baharu diperlukan kerana Malaysia Airports hanya berminat dengan terminal perkhidmatan penuh,” katanya.

Pada 2014, AirAsia bertelagah dengan MAHB dan enggan berpindah dari LCCT di Tanjung Aru, Sabah ke terminal utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Syarikat penerbangan bajet itu berkata caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang tinggi di KKIA sebagai salah satu sebab pihaknya menentang perpindahan itu.

Di Terminal 2, PSC ialah RM32 bagi setiap penumpang manakala di KKIA ialah RM65. AirAsia merasakan PSC yang tinggi membebankan penumpang dan menambah kos perjalanan.

AirAsia akhirnya berpindah ke KKIA pada Disember 2015 selepas diarah berbuat demikian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan terdapat rancangan untuk menjadikan Terminal 2 itu khusus bagi perkhidmatan kargo dan udara.

MAHB mengendalikan 39 lapangan terbang iaitu 5 lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 lapangan terbang landasan pendek (STOLports).

Tahun lepas, AirAsia dan MAHB berdebat mengenai rancangan AirAsia mempromosikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebagai LCCT2.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Aireen Omar pada Jun berkata AirAsia sebagai pengendali terbesar di klia2 tidak pernah dirujuk dalam reka bentuk terminal itu.

Beliau berkata AirAsia sepatutnya memainkan peranan utama kerana syarikat penerbangan bajet dan anak syarikatnya menyumbang 98% daripada semua penerbangan yang menggunakan klia2.

“LCCT membuatkan perjalanan berpatutan. Di klia2, cukai lapangan terbang sama dengan lapangan terbang antarabangsa yang menjadikannya lebih mahal untuk penerbangan kos rendah,” katanya.