Hampir 2 juta pekerja asing pegang pas lawatan kerja sementara

Imigresen_pekerja-asing_600125KUALA LUMPUR: Rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menunjukkan 1,781,598 orang pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah dan aktif berada di negara ini setakat 30 Jun lepas.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) berkata daripada jumlah itu, pekerja asing dari Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 728,870 orang diikuti Nepal (405,898), Bangladesh (221,089), Myanmar (127,705), India (114,455) dan Pakistan (59,281).

Dari Filipina pula seramai 56,153 diikuti Vietnam (29,039), China (15,399), Thailand (12,603), Sri Lanka (5,964), Kemboja (5,103) dan Laos (39).

Kok meminta penjelasan mengenai pecahan pekerja asing mengikut negara asal dan sektor pekerjaan serta tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja secara haram di negara ini.

Menjawab soalan Khalid Abd Samad (Amanah-Shah Alam) pula, menurut KDN kebanyakan pekerja asing yang digajikan adalah dalam 6 sektor utama iaitu pembinaan seramai 350,740 orang, pembuatan (636,593) perkhidmatan (242,536), perladangan (261,530), pertanian (161,003) dan pembantu rumah (129,196).