Jalan di Sandakan ditutup untuk musnahkan bom 269kg

Mohd-Azhar-Hamin_bom_polis_6004SANDAKAN: Beberapa batang jalan akan ditutup sementara ketika pemusnahan sebutir bom lama di tanah lapang bersebelahan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini dilakukan pada sebelah petang.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Mohd Hamin berkata kerja pemusnahan akan bermula pukul 3 petang hingga 4 petang.

Beliau berkata jalan yang akan ditutup ialah Jalan Lintas Utara daripada Bulatan Nasalim hingga Bulatan Helang dan Jalan Kem Tentera berhadapan Pejabat JPJ.

Sehubungan itu, menurutnya waktu operasi Pejabat JPJ berkenaan juga akan ditutup mulai 3 petang.

Pengguna jalan raya dinasihatkan agar menggunakan jalan alternatif lain sementara penduduk setempat tidak perlu merasa panik dan menjauhi kawasan berkenaan, katanya dalam satu kenyataan.

Bom tinggalan Perang Dunia Kedua itu seberat 269kg ditemui pada Jumaat lalu ketika kerja mengorek tanah untuk pembinaan jalan raya dilakukan.