Laporan Audit: 18 sungai di Sarawak dikategori separa tercemar

audit-sarawak

KUCHING: Pihak berkuasa air negeri Sarawak diminta meningkatkan kerjasama dengan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Negeri bagi penyelesaian terhadap 18 sungai yang menjadi sumber air mentah negeri yang dikategorikan sebagai separa tercemar.

Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 itu turut mengemukakan syor supaya pihak berkenaan mewartakan kawasan tadahan air yang dikenal pasti dengan segera bagi mengelak sebarang aktiviti dilarang dijalankan di kawasan tersebut.

“Pihak berkuasa air negeri hendaklah menjalankan penguatkuasaan terhadap aktiviti terlarang di kawasan tadahan air yang diwartakan dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dan Jabatan Hutan Sarawak,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Menurut laporan itu berdasarkan Environment Quality Report oleh Lembaga Sumber Asli Dan Alam Sekitar Sarawak, kualiti air daripada 18 sungai dikategorikan sebagai separa tercemar dan memerlukan rawatan lanjut, manakala 58 kawasan tadahan air dikenal pasti masih belum diwartakan menyebabkan tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan pemulihan tidak dapat dilaksanakan.

Setakat akhir 2016, Pihak berkuasa bekalan air negeri mengenal pasti terdapat 90 kawasan tadahan air dan 105 Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh Sarawak, dengan keluasan 158,591 km persegi.

Aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan didapati tidak mencukupi bagi mengawasi aktiviti yang dilarang daripada dijalankan dalam lingkungan 8 km daripada muka sauk, kata laporan itu.

Menurut laporan itu, kapasiti LRA bagi bandar Limbang, Kuching, Samarahan serta Bintulu, didapati tidak mencukupi berbanding permintaan air pada masa kini, manakala kapasiti LRA Batu Kitang bagi kawasan Kuching serta sebahagian Bahagian Samarahan pula dijangka menghadapi masalah untuk memenuhi permintaan air bersih pada tahun 2020.

Sementara itu, Jabatan Audit Negara yang menjalankan pengauditan Pengurusan Kewangan terhadap 27 Kementerian/Jabatan/Agensi Negeri tahun lepas mendapati secara keseluruhannya, prestasi pengurusan kewangan adalah baik dengan purata markah 85.6%.

Prestasi keseluruhan pengurusan kewangan untuk 2016 bagi 13 Kementerian/Jabatan/Agensi Negeri adalah cemerlang, manakala 8 mencapai tahap baik, 4 Kementerian/Jabatan pada tahap memuaskan dan 2 jabatan pada tahap kurang memuaskan.