Laporan: Hutang Sri Lanka dengan China amaran buat Malaysia

Sri-lanka-chinaPETALING JAYA: Sri Lanka menjadi negara Asia pertama jatuh ke “perangkap hutang China” selepas menerima pelaburan berbilion dolar dalam projek infrastruktur besar, berdasarkan panduan dan janji Beijing.

Portal berita Singapura, The Independent melaporkan Sri Lanka kini menanggung hutang AS$8 bilion daripada keseluruhan AS$64 bilion dengan China disebabkan pelaburan besar dalam pelbagai projek.

Akibatnya, sebahagian besar pendapatan negara Asia Selatan itu terpaksa digunakan untuk melangsaikan hutang, bukannya untuk pembangunan sangat diperlukan negara yang bebas daripada perang saudara selama 25 tahun, pada 2009.

Kini, portal berita itu melaporkan wujud kebimbangan terhadap pelaburan kuasa besar dunia itu di Kemboja, Malaysia dan Indonesia.

“Pakar mempersoalkan minat China terhadap Malaysia secara tiba-tiba dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuka tangan dan semuanya kepada janji Beijing untuk memberi pinjaman besar-besaran.

“Walaupun China mungkin masih dianggap sebuah ekonomi membangun, strategi semasanya ialah menawarkan pinjaman mudah dan bantuan kepada negara jiran serantau, mengingatkan sistem ufti yang digunakan negara itu pada zaman empayarnya,” lapor portal berita itu.

Statistik Bank Dunia dan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan syarikat milik kerajaan China melabur AS$35.6 bilion (RM152 bilion) di Malaysia, pada 2010 hingga 2016.

Bagaimanapun, penganalisis percaya kawalan modal yang dilaksanakan Beijing sejak awal tahun ini akan menyaksikan pengurangan aliran pelaburan.

Masalah yang melanda Forest City di Johor dan Bandar Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini, hanya meningkatkan kebimbangan itu.

Tidak menghairankan, pembangkang banyak mempersoalkan pelaburan besar China dalam projek infrastruktur di Malaysia.

“Sebanyak 14 memorandum persefahaman yang Najib meterai dengan China pada November lalu berjumlah RM143.6 bilion, bersamaan 55% bajet persekutuan kita pada 2017,” kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang dipetik The Independent.

Beliau berkata, Najib kembali ke China semula pada Mei lalu, setengah tahun selepas perjanjian itu ditandatangani.

“Sudah tentu pelaburan asing kekal penting untuk pertumbuhan ekonomi. Tetapi, dalam mana-mana urus niaga, kita perlu mengamalkan pendekatan sederhana dan berhemat bagi menangani risiko yang mungkin berlaku.

“Urus niaga yang dimeterai terlalu cepat akan meningkatkan kemungkinan eksploitasi, pakatan sulit dan rasuah. Berhati-hati dengan kemurahan hati China dan kekayaannya, atau kita akan kehilangan kelebihan ke atas keperluan dan keutamaan Malaysia sendiri,” katanya kepada portal berita itu.