Tidak perlu nostalgia, kata Zahid dalam serangan terbaru terhadap Dr M

zahid-hamidi-mahathir

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini sekali lagi menyasarkan Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak juga hebat dan perlu dibanggakan.

“Akuilah zaman selepas kita juga hebat,” kata Zahid, berucap pada majlis perasmian Residensi RAH di Kampung Baru hari ini.

Ia dipercayai disasarkan kepada penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad yang kerap membangkitkan era kegemilangan ekonomi dan kestabilan politik Malaysia pada 1990-an.

Tetapi Zahid berkata masyarakat tidak perlu bernostalgia dengan era kepimpinan Dr Mahathir, sebaliknya memandang ke hadapan.

“Harus diakui tidak ada yang baharu, jika tidak ada yang lama. Tidak ada yang lama, maka tidak akan ada yang baharu. Yang lama menyayangi yang baharu, yang baharu menghormati yang lama,” katanya.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Zahid turut mempersoalkan mempersoalkan niat Dr Mahathir menyertai pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun.

Katanya, Dr Mahathir jika terus bernostalgia akan dianggap tidak lagi relevan.

“Itu sikap yang harus ada dalam Islam, pada orang Malaysia. Sepatutnya begitu. Kalau kita bernostalgia dengan keadaan yang lama, dan kita tepis apa yang baharu, maka dirinya tidak lagi relevan,” katanya.