Ungkit moyang Dr M: DAP bawa usul tergempar gesa kerajaan jelaskan

Teo-Nie-Ching-kad-pengenalan-mahathir-mohamadKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulai (DAP) Teo Nie Ching hari ini mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat membincangkan tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam mendedahkan butiran yang didakwa daripada kad pengenalan milik Tun Dr Mahathir Mohamad.

Usul Teo itu tertakluk di bawah Peraturan Mesyuarat 18 Dewan Rakyat bagi menggesa kerajaan menjelaskan tindakan timbalan perdana menteri itu yang boleh melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 kerana membocorkan maklumat peribadi individu.

“Dengan segala hormatnya saya ingin memberi notis di bawah Peraturan Mesyurat 18(1) dan (2) mengusulkan Menteri Dalam Negeri menjelaskan tindakan mendedahkan data peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam usul yang dihantar ke pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Semalam, Zahid dalam ucapan kepada ahli Umno Kelana Jaya mengungkit asal usul Dr Mahathir, sambil berkata ia berdasarkan maklumat yang dibekalkan kepadanya oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.

Sambil mengangkat salinan kad pengenalan Dr Mahathir, Zahid berkata nama sebenar bekas perdana menteri itu adalah “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

“Ketua pengarah JPN beri pada saya maklumat ini. Sebab itu, dia (Dr Mahathir) kata Melayu mudah lupa. Ini yang dikongsi. Ini IC (Kad Pengenalan) biru dia. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. No IC biru dia 2232519. Ini yang dihantar oleh Ketua pengarah JPN kepada saya,” kata Zahid.

Bagaimanapun, anak sulung Dr Mahathir, Datin Paduka Marina Mahathir, berkata Iskandar merupakan nama moyangnya, iaitu datuk kepada ayahnya.

Teo berkata, kad pengenalan adalah data peribadi dan Zahid bertindak mendedahkan segala butiran seorang warga Malaysia sekaligus menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Data peribadi warganegara Malaysia tidak sepatutnya dipersendakan atau dizahirkan kepada umum. Tindakan tersebut amat tidak beretika dan tidak wajar dilakukan seorang menteri.

“Seorang menteri yang tidak menghormati undang-undang adalah satu ancaman kepada orang ramai. Peristiwa ini akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan,” katanya.

Susulan ucapan Zahid, beberapa laporan polis sudah difailkan menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan Zahid dan ketua pengarah JPN.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/31/polis-digesa-siasat-bos-jpn-selepas-ucapan-kutty-zahid/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/30/zahid-mahathir-al-iskandarkutty-gunakan-orang-melayu-umno/