Warga Yaman terkandas di Malaysia akibat sekatan Trump

Ahmed-MubarakNEW YORK/WASHINGTON: Berpuluh-puluh warga Yaman yang berhasrat berhijrah ke Amerika Syarikat, terkandas di Malaysia ekoran sekatan perjalanan sementara dilakukan Presiden Donald Trump ke atas 6 negara majoriti Islam.

Sekatan yang ditolak mahkamah rendah itu, sebahagiannya diluluskan Mahkamah Agung pada Jun lalu, di mana rakyat dari 6 negara majoriti Islam yang tidak mempunyai ahli keluarga terdekat atau hubungan perniagaan dengan AS dilarang memasuki negara berkenaan.

Turut terjejas ialah beribu rakyat dari 6 negara itu yang memenangi loteri rawak kerajaan AS tahun lalu, yang membolehkan mereka memohon kononnya kad hijau untuk menjadi penduduk tetap di negara itu.

Malang bagi pemenang loteri berkenaan, sekatan 90 hari akan tamat pada 27 September ini, 3 hari sebelum kelayakan mereka mendapat kad hijau tamat. Memandangkan proses imigrasi lambat, Jabatan Negara mungkin bergelut mengeluarkan visa mereka sebelum tamat tempoh itu.

Baru-baru ini, kerajaan AS dalam e-mel kepada pemenang loteri yang masih menunggu visa mereka memberi amaran “ia munasabah untuk kes anda tidak boleh dipertikaikan” akibat sekatan kemasukan.

Loteri itu berjaya menarik kira-kira 14 juta penyertaan setiap tahun, dengan ramai yang menganggap ia peluang menjadikan “Impian Amerika” mereka realiti. Ia adalah simbol kuat keterbukaan AS terhadap negara lain, walaupun hakikatnya peluang kejayaan amat kecil – kira-kira 0.3% atau kurang daripada 50,000 peserta loteri yang benar-benar mendapat kad hijau pada 2015.

Program itu membantu meningkatkan imej Amerika “sebagai negara yang mengalu-alukan pendatang dan penghijrahan dari seluruh dunia, tetapi khasnya dari Afrika”, kata Johnnie Carson, bekas penolong setiausaha negara AS untuk hal ehwal Afrika ketika pemerintahan Barack Obama.

Sesetengah bekas diplomat bimbang kesan sekatan kemasukan ke atas loteri mungkin merosakkan imej AS.

“Menarik balik daripada orang yang memenanginya adalah perkara paling kejam boleh dilakukan pentadbiran ini,” kata Stephen Pattison, bekas pegawai konsular kanan Jabatan Negara.

“Ia menampakkan kita masyarakat kejam.”

Reuters menemu bual berpuluh-puluh pemenang loteri dari Yaman, Iran dan Syria, termasuk kira-kira 20 orang yang masih menunggu visa mereka.

Ramai yang enggan dinamakan kerana tidak mahu permohonan ditolak, tetapi mereka menyediakan e-mel dan dokumen lain untuk membantu mengesahkan akaun mereka.

Ada yang membelanjakan beribu dolar untuk proses permohonan, ada pula menangguhkan rancangan mempunyai anak, menjual hartanah dan menolak tawaran pekerjaan lumayan di tanah air kerana mengandaikan mereka akan berpindah ke AS tidak lama lagi.

Perjalanan sukar

Untuk rakyat Yaman, situasi itu amat sukar kerana AS tidak mengekalkan pejabat diplomati di Yaman. Mereka diminta ke negara lain memohon visa dan ramai yang datang ke Kuala Lumpur.

Perjalanan ke sebuah negara sejauh 6,400km adalah mahal dan sukar untuk rakyat Yaman yang merupakan negara termiskin di Timur Tengah dan dilanda konflik selama 2 tahun.

Kebanyakan rakyat Yaman datang ke Malaysia tinggal di sebuah pangsapuri tinggi di pinggir bandar Kuala Lumpur, di mana mereka membentuk sebuah komuniti kecil. Disebabkan sekatan imigresen, mereka tidak dibenarkan bekerja dan kehabisan wang secara perlahan-lahan.

Kebanyakannya hidup dengan dana sumbangan rakyat Yaman lain atau wang dihantar saudara mara dari tanah air.

“Bayangkan anda diberitahu mendapat tiket emas, tetapi ditarik balik kemudian,” kata Joshua Goldstein, seorang peguam imigresen AS yang menasihat pemenang loteri.

Program “visa diversiti” kononnya diluluskan Kongres dalam 1990 untuk memberi peluang kepada warga asing yang mempunyai kadar penghijrahan rendah ke AS, menetap di negara itu.

Disebabkan ia tidak meletakkan banyak syarat pendidikan atau profesional, ia cenderung menarik perhatian rakyat dari negara miskin. Di Ghana dan Sierra Leone contohnya, lebih 6% populasi di negara Afrika Barat itu memohon loteri berkenaan pada 2015.

Duta Yaman ke AS, Ahmed Mubarak berkata, pegawai negara itu di Washington mengadakan rundingan dengan Jabatan Negara bulan ini untuk mencari jalan membolehkan berpuluh-puluh pemenang loteri dari Yaman memasuki AS, sekalipun sekatan itu dilaksanakan.

“Mereka berada di Malaysia lebih 6 bulan dan menjual semua harta di Yaman. Kami cuba melakukan apa yang mampu,” katanya.

Seorang diplomat Kedutaan Yaman di Washington, Mohammed al-Hadhrami berkata, pegawai AS memaklumkan mereka akan bekerjasama dengan kerajaan Yaman untuk membantu individu yang layak mendapat pengecualian daripada sekatan perjalanan itu, memasuki AS.

Bagaimanapun, pegawai Jabatan Negara enggan mengulas cara AS bekerjasama dengan Yaman untuk menyelesaikan isu itu.

Ditarik balik

Tidak jelas berapa ramai pemenang loteri dari Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman yang menjadi mangsa sekatan AS itu. Tetapi, lebih 10,000 peserta dari 6 negara itu memenangi loteri berkenaan dengan 4,000 daripadanya berjaya mendapat visa, pada 2015.

Pegawai Yaman memberikan senarai pemenang loteri dari negara itu yang terkandas di Malaysia kepada Reuters, yang turut diserahkan kepada Jabatan Negara. Seramai 58 rakyat Yaman masih menunggu maklum balas daripada AS, termasuk sesetengah yang terkandas lebih 8 bulan akibat pemeriksaan keselamatan.

Jabatan Negara enggan mengulas angka itu, tetapi data jabatan itu menunjukkan 206 rakyat Yaman mendapat visa diversiti antara Mac dan Jun.

Susulan keputusan Mahkamah Agung pada 26 Jun lalu, pegawai Jabatan Negara memberitahu pemenang loteri dari 6 negara yang visa mereka tidak akan dikeluarkan dalam tempoh 90 hari penguatkuasaan sekatan itu, kecuali mereka mempunyai hubungan keluarga terdekat atau hubungan lain dengan seorang rakyat atau institusi di AS, demikian e-mel yang dilihat Reuters.

Hadhrami berkata, pegawai Yaman berusaha sedaya upaya membantu pemenang loteri dari negara itu menunjukkan kelayakan mereka untuk mendapat pengecualian daripada sekatan perjalanan itu.

Rafek Ahmed al-Sanani, seorang petani yang tamat pendidikan sekolah tinggi antara warga Yaman terkandas di Malaysia.

Pemuda berusia 22 tahun itu memulakan perjalanannya pada Disember lalu dengan menaiki bas selama 22 jam, disusuli penerbangan ke Mesir, Qatar dan akhirnya tiba di Malaysia.

“Saya orang pertama memohon loteri itu dalam keluarga saya,” kata anak daripada 9 beradik itu yang berasal dari Ibb, utara Yaman.

“Saya mahu ke AS belajar bahasa Inggeris dan melanjutkan pelajaran.”

Sanani berkata, beliau terpaksa meminjam AS$10,000 untuk menampung kos kehidupan dan perjalanan ke Malaysia. Kini, beliau hanya mampu berserah kepada takdir.

“Apa yang saya boleh buat? Saya akan terima realiti,” katanya.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/29/dilarang-masuk-as-kecuali-ada-ibu-ayah-suami-isteri-anak-menantu/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/27/rakyat-6-negara-islam-dibenar-ke-as-tetapi-bersyarat/